iFAMA mudahkan urusan, kurangkan ruang manipulasi bekalan

Iklan
Shahiida (kanan) ketika program Interviu X Podcast Sinar Harian dihoskan Haizir di Studio F, Karangkraf pada Selasa. Foto: ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memacu pendigitalan perkhidmatan pemasaran bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan agromakanan menerusi sistem iFAMA yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform digital.

Inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan pendaftaran orang-orang yang terlibat dalam pemprosesan dan pemasaran keluaran pertanian serta permohonan perkhidmatan, malah berpotensi membantu mengurangkan ruang manipulasi dalam rantaian bekalan melalui pengumpulan maklumat serta data lebih tersusun dan bersepadu.

Iklan
Iklan

Pengarah Kanan (Risikan dan Pemodenan Pasaran) FAMA, Dr Shahiida Musa berkata, sebanyak 47 perkhidmatan kini boleh diakses menerusi sistem tersebut, sekali gus memudahkan urusan pemasar dan pemain industri mendapatkan kemudahan disediakan agensi itu.

Menurutnya, iFAMA menggunakan konsep ‘Satu Akaun, Pelbagai Perkhidmatan’ yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai kemudahan tanpa perlu membuat pendaftaran berasingan atau mengemukakan maklumat sama berulang kali.

Iklan

Shahiida. Foto: ROSLI TALIB

“Melalui iFAMA, semua perkhidmatan disediakan FAMA dihimpunkan dalam satu platform. Pengguna boleh membuat pendaftaran, mengemukakan permohonan, menyemak status serta mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika program Interviu X Podcast Sinar Harian bertajuk ‘iFAMA: Pelbagai Perkhidmatan Pemasaran di Hujung Jari’ dihoskan Haizir Othman di Studio F, Karangkraf, di sini, pada Selasa.

Shahiida berkata, perkhidmatan yang disediakan merangkumi beberapa jenis iaitu pasaran, produk, usahawan, outlet, infrastruktur, akreditasi dan lain-lain.

Menurutnya, antara kemudahan ditawarkan termasuk penyertaan program pemasaran, kursus keusahawanan, permohonan berkaitan outlet serta penggunaan kemudahan infrastruktur FAMA.

Katanya, sistem itu turut membantu agensi mengumpulkan maklumat pemasar secara lebih tersusun bagi membolehkan perancangan program dan penyampaian perkhidmatan dibuat berdasarkan keperluan sebenar pemain industri.

“Apabila data dikumpulkan dalam satu sistem, FAMA dapat mengenal pasti profil serta keperluan pemasar. Maklumat ini juga penting untuk meningkatkan ketelusan rantaian bekalan dan mengurangkan ruang berlakunya manipulasi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 1,178 pengguna telah berdaftar dengan iFAMA, manakala kira-kira 351 permohonan perkhidmatan diterima.

Kata Shahiida, FAMA turut melaksanakan latihan dan pendekatan turun padang bagi membantu usahawan kurang mahir menggunakan kemudahan digital.

Menurutnya, pembangunan sistem itu juga diteruskan menerusi perancangan penambahan kemudahan seperti chatbot bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat, selain pembayaran dalam talian dan integrasi sistem bagi memudahkan urusan pada masa hadapan.

Justeru, pengguna khususnya pemasar dan pemain industri agromakanan disaran memanfaatkan iFAMA untuk mendapatkan akses lebih mudah kepada pelbagai perkhidmatan pemasaran FAMA.

Orang ramai kini boleh mengakses portal bersepadu iFAMA melalui https://ifama.fama.gov.my dan memilih menu Daftar Akaun, melengkapkan maklumat diperlukan dan mengesahkan akaun sebelum membuat permohonan perkhidmatan.