PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 10 agenda utama hasil cetusan idea menerusi Festival of Ideas (FOI) 2026 akan diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi memastikan gagasan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada dasar dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, resolusi utama festival itu akan dihimpunkan dalam Risalah Idea Malaysia sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
Menurutnya, langkah itu merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan idea yang dicetuskan menerusi platform berkenaan tidak sekadar menjadi perbincangan, sebaliknya diberikan perhatian di peringkat pembuat dasar.
"Resolusi utama akan dihimpunkan dalam Risalah Idea Malaysia merangkumi sekurang-kurangnya 10 agenda utama untuk diangkat kepada pertimbangan Jemaah Menteri," katanya ketika berucap pada FOI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Beliau berkata, penganjuran FOI kali ketiga itu turut memberi penekanan kepada usaha mempertemukan dunia akademik, industri, pembuat dasar dan masyarakat bagi meruntuhkan tembok pemisah antara semua pihak.
Jelasnya, pendekatan itu penting supaya hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi tidak terhenti di makmal, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada inovasi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
Mengulas tema FOI 2026, iaitu 'Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani', Zambry berkata, Malaysia perlu berani menguasai teknologi masa hadapan dan tidak sekadar menjadi pengguna.
Katanya, penguasaan bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, tenaga hijau dan keselamatan siber perlu diberikan perhatian dalam usaha membina masa depan negara.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi tanpa panduan nilai boleh mengundang krisis kemanusiaan.
"Kita semakin berhubung namun semakin terasing. Kita kaya dengan maklumat, tetapi masih miskin renungan dan hikmah," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan universiti sebagai 'otak negara' yang berperanan menjadi pusat pemikiran dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
Menurutnya, kekuatan ilmu dan kebijaksanaan perlu menjadi asas untuk mempertemukan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang mampu meneroka perubahan masa hadapan.
Mengulas pencapaian penganjuran terdahulu, Zambry berkata, FOI tahun lalu mencatatkan lebih tiga juta penglibatan awam selain menghimpunkan 10,000 idea menerusi platform Idea Vault.
FOI 2026 yang berlangsung selama tiga hari turut menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon di PICC, termasuk 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh, panelis dan pembentang.
Festival itu turut menerima penyertaan delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.