INTEGRITI dalam pensijilan halal akan terus diperkukuhkan berasaskan konsep amanah atau trust bagi memastikan keyakinan pengguna tehadap ekosistem halal global sentiasa terpelihara.
Perkara tersebut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di hadapan delegasi mewakili 101 badan pensijilan halal dari 51 buah negara pada Malam Global Halal Summit (GHaS) 2026 yang mengangkat tema Syariah dan integriti: Memperkasa ekosistem halal global.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada badan pensijilan halal seluruh dunia itu bukan sekadar urusan perniagaan atau tanda hubungan diplomatik, sebaliknya merupakan satu bentuk kepercayaan.
“Apabila Jakim mengiktiraf sesebuah badan pensijilan, Malaysia sebenarnya berkata kepada rakyatnya bahawa kita mempercayai mereka sebagaimana kita mahu mereka mempercayai kita.
“Kepercayaan itu amat besar nilainya di mata global,” ujarnya ketika menyempurnakan GHaS 2026 di Putrajaya baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa; Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Zulkifli berkata, setiap sijil halal yang dikeluarkan di mana-mana negara akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna yang mungkin tidak pernah melihat kilang atau proses pengeluaran produk berkenaan.
“Justeru, kita tidak akan berkompromi dalam soal integriti pensijilan halal,” katanya.
Kerjasama mudahkan permohonan
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan hubungan antara sistem pensijilan halal yang diamalkan setiap negara.
Katanya, setiap negara mempunyai sistem pensijilan halal tersendiri yang dibangunkan berdasarkan keperluan masing-masing.
Namun, cabaran yang perlu ditangani ialah memastikan wujud hubungan antara sistem berkenaan bagi mengurangkan pertindihan proses yang boleh membebankan pemain industri.
“Sebagai contoh, pengusaha kecil yang ingin menembusi sesuatu pasaran mungkin terpaksa melalui lima proses berbeza untuk tujuan yang sama.
Beliau turut menegaskan bahawa halal tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang perdagangan atau alat perlindungan pasaran.
Sebaliknya halal merupakan satu bentuk jaminan terhadap aspek kualiti, kebersihan, keselamatan dan etika yang terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia mematuhi keperluannya.
Menurut beliau lagi, Malaysia sendiri menunjukkan bahawa pensijilan halal bukan eksklusif kepada umat Islam apabila sebahagian besar syarikat pemegang sijil halal Malaysia dimiliki oleh usahawan bukan Islam yang turut mematuhi keperluan ditetapkan.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi perhatian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan wanita dalam ekosistem halal.
“Tidak banyak ertinya kita bercakap mengenai pasaran halal bernilai trilion dolar sekiranya peniaga kecil di kampung masih merasakan pensijilan halal itu sesuatu yang jauh, rumit dan mahal,” katanya.
Halal dan hospitaliti saling melengkapi
Beliau turut mengaitkan pensijilan halal dengan sektor pelancongan dan hospitaliti khususnya ketika Malaysia menyambut Visit Malaysia 2026.
Katanya, pengalaman para pelancong terutamanya umat Islam bermula sebaik sahaja mereka tiba di sesebuah negara dan antara yang timbul di benak fikiran mereka termasuklah persoalan berkaitan ruang solat, makanan halal dan sejauh mana keperluan agama mereka dihormati di negara tersebut.
“Di sinilah pensijilan halal bertemu dengan hospitaliti.
Dalam ucapan sama, beliau menekankan bahawa konsep kepercayaan menjadi asas penting dalam ekosistem halal global.
Beliau memberikan gambaran mengenai seorang pelancong Muslim yang tiba di negara asing bersama keluarganya tanpa mengenali bahasa dan persekitaran setempat.
Katanya, apabila pelancong berkenaan melihat logo halal pada sebuah restoran, perasaan mereka menjadi lebih tenang meskipun tidak mengetahui secara langsung siapa yang mengaudit dapur restoran tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC, Jakim dan ITC serta semua rakan strategik yang menjayakan Malam GHaS 2026.
Majlis berkenaan menghimpunkan delegasi antarabangsa daripada pelbagai benua dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama pensijilan halal global.