SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai mandi bersendirian di sebuah tasik buatan di Bandar Botanik, Klang pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 6.21 petang.
Beliau berkata, tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas digerakkan ke lokasi dengan operasi pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Shah Alam.
"Mangsa dipercayai mandi bersendirian di tasik buatan itu sebelum rakan-rakannya cuba menyelamatkannya.
"Mayat mangsa ditemukan pasukan PPDA pada kedalaman satu meter menerusi teknik selaman pada 8.21 malam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ashrul Riezal berkata, pengecaman mayat dilakukan ibu bapa mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.