ROMPIN - Seorang pelancong warga Afganistan menjadi mangsa kedua lemas ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pulau Tioman selepas kejadian sama menimpa penyelam wanita warga India, 12 September lalu.
Kejadian terbaharu menimpa Mohammed Seyar Musazay, 55 berlaku pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa yang menetap California, Amerika Syarikat lemas ketika menjalankan aktiviti selaman percubaan bersama anak perempuannya di kawasan pantai Kampung Salang, Pulau Tioman di sini
Menurutnya, mangsa dipercayai lemas berpunca regulator pernafasan di mulutnya tercabut ketika naik ke permukaan air selepas selesai selaman.
"Mayat mangsa dibawa keluar dari Pulau Tioman ke Teluk Gading di sini jam 4.50 petang menaiki bot Pasukan Polis Marin sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat," katanya.
Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai jurutera datang bersama anak perempuannya berusia 24 tahun untuk bercuti di Pulau Tioman dan menginap di sebuah chalet di Kampung Salang sejak Sabtu lalu.
"Kira-kira jam 11 pagi hari ini (Rabu),mangsa dan anak perempuannya keluar untuk aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) ditemani seorang jurulatih dari sebuah pusat menyelam di kampung berkenaan," katanya.
Mengulas kejadian menimpa mangsa terbaharu itu, Sharif Shai berkata, sebelum memulakan aktiviti selaman, mangsa dan anak perempuannya diberi taklimat mengendalikan peralatan selam sebelum dibawa ke pantai untuk mencuba alat selaman.
"Sepanjang aktiviti selaman di air selama kira-kira 20 minit pada kedalaman enam meter, semua berada dalam keadaan baik.
"Selepas aktiviti selaman hampir selesai, jurulatih membantu anak lelaki itu timbul ke permukaan air terlebih dahulu dari ke dalaman tiga meter sebelum menyedari mangsa terkapai-kapai naik ke permukaan air,"katanya.
Beliau berkata, semasa jurulatih selam itu mendekati untuk membantu, dapati regulator pernafasan di mulut mangsa tercabut dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia.
Sebelum ini, penyelam wanita warga India ditemukan lemas selepas tergelincir jatuh ke laut selepas selesai menjalankan aktiviti selaman bersama keluarga di kawasan Pulau Renggis, perairan Tioman di sini 12 September lalu.
Mangsa, Sabiya Shiek, 65, ditemui tidak sedarkan diri terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman selepas 15 minit pencarian dijalankan.
Wanita warga emas berasal dari Tamil Nadu itu dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.