ALOR SETAR -"Ini adalah rezeki yang dipinjamkan Allah, jadi saya mahu gunakan untuk membina sebuah premis (tempat belajar) mengaji al-Quran buat anak-anak kariah di sini,” itulah ungkapan Arbaai Mat Ali, 66, ketika ditanya mengenai hadiah kemenangan RM1 juta.
Pesara pembantu perubatan dari Kampung Alor Senibong di sini meraih hadiah itu apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-127.
Beliau berkata, tidak pernah menyangka dapat membawa pulang hadiah itu kerana hanya menyimpan RM50 daripada ganjaran Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diterimanya pada 2006.
"Selepas dapat ganjaran itu, saya terus buka akaun dan selepas itu saya simpan duit sekiranya mempunyai lebihan wang. Baru-baru ini saya hampir keluarkan semua simpanan tetapi pihak bank maklumkan ada cabutan bertuah, jadi saya biarkan baki berjumlah RM5,000 di dalam akaun.
"Pihak BSN maklumkan saya telah memenangi ‘saguhati’, namun tidak memberitahu hadiah yang dimenangi. Ada kawan yang maklumkan saya menang RM1 juta, namun saya masih tidak percaya sebelum menyuruh anak lelaki untuk membuat semakan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah bersama Jutawan BSN SSP ke-127 di sini pada Rabu.
Arbaai, mempunyai dua anak lelaki dan telah kematian suami tahun lepas berkata, beliau tekad untuk berkongsi rezeki tersebut menerusi jalan kebajikan.
"Sebelum ini, saya telah menggunakan sebahagian wang pencen berjumlah RM180,000 untuk membeli sebidang tanah dan sebuah rumah usang di kampung. Saya sentiasa berdoa supaya Allah kurniakan rezeki lebih supaya dapat buat tempat belajar al-Quran untuk anak-anak di sini.
"Sekarang, proses menyiapkan tapak sedang dijalankan dan akan diwakafkan sepenuhnya. Pusat itu bertujuan menampung kelas al-Quran bagi anak-anak sekolah rendah yang dikendalikan oleh dua orang ustazah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada golongan muda supaya mendisiplinkan diri untuk menabung demi masa depan.
Sementara itu, pesara jururawat, Hariza Tajuddin, 56, dari Guar Chempedak yang memenangi kategori cabutan negeri berkata, beliau tidak menyangka memenangi sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 selepas kereta miliknya musnah sepenuhnya dalam satu kemalangan pada Jun lepas.
"Saya mula menyimpan dalam BSN SSP apabila menerima APC pada 2005 dan 2015, saya tambah kira-kira RM1,000 di dalam akaun setelah didorong oleh pegawai BSN. Saya hanya mengetahui telah memenangi kereta itu sehari selepas pulang daripada menunaikan umrah pada awal bulan lepas,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan hadiah terbesar yang pernah diraih sepanjang hidupnya dan akan terus menambah wang di dalam akaun BSN SSP untuk masa hadapan. - Bernama