SHAH ALAM - Hak pembangunan komersial yang sebenarnya dilepaskan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dipersoalkan susulan pengurangan premium pembaharuan pajakan tanahnya daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu perlu diperjelaskan memandangkan bangunan KLSCAH sudah berstatus warisan sejak 2007, sedangkan penukaran kegunaan tanah kepada institusi dikemukakan sebagai antara alasan pengurangan premium berkenaan.
“KLSCAH juga dikatakan rela menukar status tanah kepada institusi dan melepaskan potensi membina kondominium atau pusat beli-belah.
“Bangunan itu sudah berstatus warisan sejak 2007. Jadi, apakah hak pembangunan yang masih ada sebelum pertukaran status itu, dan apakah yang sebenarnya dilepaskan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, selepas menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO dan Pas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh tampil menjelaskan faktor keputusan kerajaan menetapkan premium tanah KLSCAH pada kadar RM1,000.
Hannah menjelaskan bahawa kadar berkenaan mengambil kira persetujuan KLSCAH menukar status tanah kepada kegunaan institusi, sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial seperti kondominium dan pusat beli-belah.
Muhamad Akmal turut mempersoalkan mengapa KLSCAH mahu meneruskan pajakan tanah selama 99 tahun sekiranya bangunan berkenaan benar-benar mengalami defisit operasi RM400,000 setahun dan dikatakan tidak mempunyai nilai komersial.
Beliau juga menuntut Hannah menjelaskan asas kerajaan bersetuju menetapkan premium pembaharuan pajakan pada kadar RM1,000.
“Kalau operasi bangunan itu benar-benar defisit RM400,000 setahun dan tanah itu dikatakan tiada nilai komersial, kenapa KLSCAH mahu terus memegangnya selama 99 tahun lagi?
“Dan atas asas apa kerajaan bersetuju menetapkan premiumnya pada RM1,000?” soalnya lagi.
Pada masa sama, Muhamad Akmal meminta kerajaan mengemukakan penyata kewangan beraudit KLSCAH susulan penjelasan bahawa institusi berkenaan mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sama ada angka tersebut merujuk kepada operasi bangunan atau keseluruhan persatuan sekiranya ia dijadikan alasan untuk mengurangkan premium tanah.
“Kalau angka itu dijadikan alasan untuk mengurangkan premium, tunjukkan penyata kewangan beraudit. Rakyat berhak tahu sama ada angka itu merujuk kepada operasi bangunan atau keseluruhan persatuan.
“Kalau tujuan kerajaan ialah memelihara warisan, adakah kerajaan menilai pilihan untuk mengambil alih bangunan itu, menjaganya dan membuka akses percuma kepada orang ramai?” ujarnya.
Beliau turut mempertahankan tindakan membangkitkan isu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan menegaskan bahawa persoalan sebenar ialah pertimbangan kerajaan dalam memberikan kelonggaran kewangan.
Kata beliau, rakyat memahami perbezaan antara premium tanah dengan sewa rumah, namun mahu mengetahui kewajaran membandingkan diskaun 50 peratus selama dua tahun kepada peniaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pengurangan premium hampir 100 peratus bagi tempoh 99 tahun.
Muhamad Akmal turut meminta kerajaan menjelaskan jaminan akses awam terhadap bangunan KLSCAH serta pihak yang akan menanggung kos penyelenggaraannya selepas pembaharuan pajakan berkenaan.
“Soalannya dari awal tentang angka, syarat dan asas keputusan. Kenapa pula isu kaum dibawa masuk? Kalau keputusan kerajaan terdahulu dijadikan sandaran, apa yang Kerajaan Madani buat secara berbeza atas nama reformasi?
“Terbitkan penilaian asal, alasan pengurangan premium dan syarat yang dikenakan,” tegasnya.