KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan lima isu awal berkaitan saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes itu diteruskan ke perbicaraan penuh.
Keputusan itu sekali gus membolehkan permohonan Ahli Parlimen Tambun berusia 79 tahun itu supaya isu-isu berhubung pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff selaku plaintif di kediamannya pada 2 Oktober 2018 ditentukan terlebih dahulu diteruskan.
Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan ketika membaca keputusan selama dua jam berkata, plaintif perlu membuktikan bahawa beliau berada di kediaman Anwar pada tarikh berkenaan sebelum dakwaan serangan seksual atau pencerobohan seperti yang dinyatakan dalam saman boleh dipertimbangkan.
Lima isu itu termasuk sama ada Setiausaha Sulit Anwar ketika itu, Shukri Saad mengarahkan Yusoff untuk menyampaikan sendiri dokumen ucapan ke kediaman Anwar di Bukit Segambut Dalam.
Mahkamah turut akan menentukan sama ada plaintif pergi bersama pengawal keselamatan Anwar ketika itu, Norafee Ahmad @ Dekdi dari pejabat defendan jam 2.15 petang sebelum tiba di kediaman berkenaan pada jam 3 petang pada 2 Oktober 2018.
Isu ketiga ialah sama ada plaintif benar-benar berjumpa dengan Anwar pada tarikh berkenaan seperti yang didakwa dalam saman.
Sekiranya isu ketiga diputuskan secara negatif, mahkamah turut perlu menentukan sama ada peristiwa serangan seksual atau pencerobohan terhadap plaintif seperti yang didakwa boleh berlaku.
Isu kelima pula ialah sekiranya persoalan ketiga diputuskan secara negatif, sama ada writ dan pernyataan tuntutan bertarikh 14 Julai 2021 yang difailkan Yusoff masih mampan dari segi undang-undang dan fakta.
Dalam pada itu, Raja Ahmad Mohzanuddin menolak permohonan supaya lima isu awal berkenaan diputuskan hanya berdasarkan keterangan afidavit.
Sebaliknya beliau berkata, mahkamah menetapkan isu-isu tersebut perlu diputuskan melalui perbicaraan yang melibatkan keterangan lisan, dengan kedua-dua pihak bebas memanggil saksi yang dianggap perlu, tertakluk kepada kerelevanan keterangan mereka.
Mahkamah turut memutuskan perbicaraan isu awal itu dijalankan menerusi aplikasi Zoom dan terbuka kepada orang awam terutama pihak media.
“Mahkamah juga menetapkan tindakan selanjutnya hendaklah dibuat selaras dengan keputusan terhadap isu-isu awal berkenaan.
“Kes itu akan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan hakim lain, termasuk berkaitan akses orang awam kepada pendengaran melalui Zoom serta penetapan tarikh perbicaraan,” katanya yang akan meneruskan tugas di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada November depan.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes terbabit pada 5 November depan.
Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar dengan mendakwa ahli politik itu telah menyerangnya secara seksual di sebuah kediaman di Segambut pada 2 Oktober 2018.
Beliau mendakwa laporan polis dibuat pada 7 Disember 2019 dan kesihatan mentalnya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.
Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa, beliau sedang bersama keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut.
Anwar kemudiannya memohon beberapa isu yang didakwa berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di lokasi dan tarikh berkenaan, ditentukan terlebih dahulu sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.
Menurutnya, penentuan isu berkenaan berpotensi menyelesaikan keseluruhan tuntutan saman berkenaan tanpa perbicaraan penuh.
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh lain untuk keputusan permohonan Anwar supaya beberapa isu awal didengar sebelum perbicaraan saman dakwaan serangan seksual Muhammed Yusoff bermula.
Dalam prosiding berkenaan, pemimpin PKR diwakili peguam, Christopher Leong sementara Muhammed Yusof sebagai responden diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.