KLANG - Kehilangan seorang pemancing di perairan One Fathom Bank sebelum ini terjawab apabila mayatnya ditemukan terapung di perairan Kuala Kurau, Perak pada Selasa.
Mayat Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, ditemukan nelayan kira-kira jam 5.25 petang pada jarak 4.5 batu nautika barat daya Muara Kuala Kurau.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa ditemukan memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng.
Menurutnya, Bot Maritim BENTENG 03 kemudiannya digerakkan ke lokasi selepas Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat daripada nelayan.
"Mayat seterusnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tujuh individu hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam dalam kejadian di perairan One Fathom Bank pada 14 September lalu.
Bot terbabit dipercayai karam selepas dilanggar sebuah kapal sehingga menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke laut ketika memburu ikan cencaru.
Empat mangsa kemudian diselamatkan selepas 36 jam bertarung di laut iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45' serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua lagi mangsa ditemukan terkorban sebelum ini iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohd. Shahril Abd Rahman, 43.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata, identiti mangsa disahkan isterinya menerusi pakaian terakhir yang dipakai mangsa ketika kejadian.
Ujarnya, penemuan mangsa itu melengkapkan usaha pencarian terhadap kesemua tujuh individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.