INTAC 2026 platform kukuh pelancongan Malaysia ke persada dunia

Iklan
Rosle (enam dari kiri) dan Dr Leena (tiga dari kanan) bersama rakan strategik sempena penganjuran INTAC 2026 di KLCC bermula Jumaat ini.

KUALA LUMPUR – Pameran dan Persidangan Pelancongan, Seni dan Budaya Antarabangsa (INTAC) 2026 berpotensi menjadi platform penting untuk memperluas kedudukan Malaysia dalam jaringan pelancongan, seni dan budaya antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Sekretariat INTAC 2026, Datuk Rosle Jaamat berkata, penganjuran kali kedua itu bukan sekadar menghimpunkan pemain industri, malah membuka ruang kepada Malaysia untuk membina hubungan lebih luas dengan negara peserta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hubungan yang terjalin menerusi INTAC boleh berkembang kepada kerjasama dan peluang baharu dalam sektor pelancongan, seni serta budaya.

"Saya rasa perkara yang paling penting bagi INTAC 2026, walaupun ia baru penganjuran kali kedua, adalah harapan agar suatu hari nanti ia boleh berkembang menyerupai World Travel Market di London dan pasaran pelancongan di Berlin

Iklan

"Aspirasi berkenaan termasuk menjadikan Malaysia atau Kuala Lumpur sebagai hab bagi aktiviti pelancongan di rantau ini.," katanya pada sidang media INTAC 2026 di sini pada Isnin.

INTAC 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Jumaat ini hingga 4 Oktober di Dewan 6, Aras 1 dengan pelbagai pengisian termasuk pembentangan destinasi, 'pocket talks', persembahan kebudayaan dan aktiviti belia dengan kemasukan adalah percuma.

Iklan

Edisi kedua INTAC bakal menghimpunkan 151 pempamer dari 25 negara dengan sasaran kira-kira 5,000 pengunjung perdagangan dan orang awam.

Rosle berkata, penyertaan antarabangsa itu turut memberi peluang kepada pemain tempatan untuk memperkenalkan destinasi, produk seni dan budaya Malaysia kepada khalayak dari luar negara.

"INTAC bukan sekadar pameran tiga hari, ia mengenai hubungan yang kita cipta, peluang yang dibuka dan perkongsian berterusan selepas acara ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif WEX Malaysia Sdn Bhd Dr Leena Al-Mujahed pula berkata, gabungan pelancongan, seni dan budaya dalam satu platform mampu menjadi medium yang menghubungkan masyarakat dari pelbagai negara.

Katanya, INTAC tahun ini turut diperkasakan dengan beberapa pengisian baharu yang memberi lebih banyak ruang kepada pemain industri dan komuniti kreatif.

Antaranya termasuk Forum dan Pertunjukan Fesyen dengan kerjasama Dewan Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Sunway University serta Artisans Bazaar yang menghimpunkan artisan dari beberapa rantau.

INTAC 2026 turut menampilkan pembentangan destinasi, sesi perkongsian industri atau pocket talks, persembahan kebudayaan dan aktiviti berteraskan belia.