Pemaju Morib Bay disenarai hitam, tuntutan ganti rugi lebih RM30 juta - Exco

Iklan
Borhan ketika menjawab soalan tambahan Rosnizan Ahmad (Bersatu-Morib) pada sidang DUN Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyenaraihitamkan pemaju projek perumahan Morib Bay susulan kegagalan menyiapkan pembangunan itu, manakala tuntutan ganti rugi kelewatan (LAD) pembeli kini dianggarkan melebihi RM30 juta.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bagaimanapun, terdapat persetujuan antara pembeli dengan pemaju penyelamat supaya tuntutan LAD tidak diteruskan bagi membolehkan projek itu disiapkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah itu penting kerana sekiranya tuntutan ganti rugi kelewatan perlu dibayar, ia dikhuatiri menjejaskan usaha pemulihan yang sudah dikategorikan sebagai projek sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Rosnizan sebelum itu meminta penjelasan sama ada pemaju terbabit sudah disenaraihitamkan, selain membangkitkan kemungkinan pembeli dikenakan kos tambahan berikutan kelewatan dan kerosakan projek serta hak mereka menuntut ganti rugi.

Iklan

Mengulas lanjut, Borhan berkata, kegagalan pemaju asal meneruskan projek perumahan berlaku selepas syarikat itu terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga tidak lagi berkemampuan menanggung kos pembangunan.

Menurutnya, pemulihan projek kini bergantung kepada kerjasama pihak pemilik tanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pemaju penyelamat yang dikenal pasti mengambil alih pembangunan berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan PNB pada 4 November lalu dan pihak berkenaan pada prinsipnya bersetuju supaya pemulihan Fasa 1 yang membabitkan pembinaan rumah teres diberi keutamaan.

Bagaimanapun katanya, PNB masih meneliti beberapa aspek pelaksanaan termasuk kaedah perolehan, pelantikan pihak berkaitan serta pematuhan kepada keperluan perundangan sebelum garis masa pemulihan dapat dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Borhan berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut membantu pembeli yang masih menanggung komitmen pinjaman bank menerusi pengeluaran surat pengesahan status projek.

Katanya, surat itu membolehkan pembeli mengemukakan permohonan kepada institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan penstrukturan semula pembiayaan atau pengurangan ansuran bulanan tertakluk kepada pertimbangan pihak bank.

"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan pemulihan projek berkenaan bagi memastikan usaha menyiapkan kediaman pembeli dapat diteruskan," tambah beliau.