SUBANG JAYA - Isu kebersihan dan pelanggaran syarat pelesenan dikesan dalam operasi bersepadu terhadap sembilan premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Taman Perindustrian Puchong pada Isnin.
Hasil pemeriksaan mendapati dua premis memperoleh penarafan kebersihan Gred D, manakala sebuah lagi didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga premis berkenaan dikenakan tindakan penutupan hasil operasi yang dijalankan itu.
Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan melibatkan 89 anggota dan pegawai daripada Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Korporat MBSJ dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Pemeriksaan memberi tumpuan kepada pematuhan syarat pelesenan, tahap kebersihan premis serta aspek kesihatan dan keselamatan awam.
"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis melakukan kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Katanya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk halangan di tempat awam, kegagalan memastikan premis berada dalam keadaan baik dan bersih serta pelepasan efluen dan kumbahan yang tidak mematuhi kaedah ditetapkan selain terdapat premis dikesan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.
"Daripada sembilan premis diperiksa, lima memperoleh Gred B, sebuah Gred C, dua Gred D manakala sebuah lagi tidak beroperasi ketika pemeriksaan dijalankan.
"Tindakan penguatkuasaan turut membabitkan pengeluaran Notis Tindakan Kesalahan (NTK) dan penutupan premis mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa," katanya.
MBSJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pengusaha yang gagal mematuhi peraturan, syarat pelesenan dan standard kebersihan ditetapkan.
"Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas termasuk pengeluaran notis, kompaun dan penutupan premis bagi melindungi kesihatan awam serta kepentingan masyarakat," menurut kenyataan itu.