SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pada Selasa.
Beliau dipercayai telah meninggalkan istana menggunakan pintu belakang selepas hampir tiga jam menghadap baginda.
Namun, tidak dapat dipastikan intipati perjumpaan tersebut, namun dipercayai berkaitan krisis adat yang sedang berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh terbabit sebelum itu memasuki istana pada jam 10.50 pagi.
Sementara itu, kenderaan dinaiki oleh Undang Luak Rembau, Dato' Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Klana Petra, Muhammad Faris Johari pula dilihat keluar dari istana jam 1.48 petang.
Hasan sempat membuka tingkap dan melambaikan tangan kepada petugas media sambil memaklumkan bahawa perbincangan masih belum selesai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut enggan mengulas lanjut, namun memaklumkan ia adalah perjumpaan sulit.
Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Ismail diarahkan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan penyelesaian krisis adat yang sedang berlaku
Presiden UMNO itu berkata, kaedah terbaik perlu dicari di peringkat negeri bagi memastikan keadaan tidak semakin keruh dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Katanya, Ismail juga diberikan mandat bertemu dengan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar dan hierarki adat negeri dalam mencari jalan keluar kemelut berpanjangan tersebut.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni.
“Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.