Haram berniaga secara terbuka dalam tempoh PKP

Iklan
Penerangan mengenai hukum jual beli secara terbuka yang menyalahi perintah PKP oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

IPOH - Hukum menjalankan perniagaan secara terbuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah haram.

Perkara tersebut dinyatakan Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu artikel yang dimuat naik di Facebooknya bahawa larangan itu bersandarkan kepada melanggar perintah pihak berkuasa yang bertindak mewakili ulil amri.

Iklan
Iklan

Katanya, meskipun hukum berniaga asalnya harus, tindakan pemerintah melarang menjalankan perniagaan tertentu sewaktu penularan wabak koronavirus (Covid-19) adalah betul dan selaras dengan prinsip syarak.

"Perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa meskipun pada asalnya berniaga hukumnya harus. Larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah bertujuan menolak kemudaratan dengan mengekang penularan Covid-19 dengan kawalan pergerakan terhad.

Iklan

"Peniaga ingin mendapat keuntungan melalui perniagaan tersebut, sedangkan perbuatannya itu jika tidak dihalang akan membawa kemudaratan besar. Kemudaratannya ialah menularkan wabak Covid-19," katanya menerusi artikel tersebut.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak mengajak orang ramai mematuhi semua arahan pihak berkuasa agar urus niaga diberkati dan seterusnya dihindarkan daripada wabak tersebut.

Iklan

Mengulas lanjut katanya, meskipun perbuatan jual beli itu haram, namun status hukum transaksi tersebut adalah sah selagi memenuhi semua rukun dan syarat jual beli.

Jelasnya lagi, sekiranya rukun atau syaratnya tidak dipenuhi, maka jual beli itu dikira tidak sah sebagai contohnya jual beli arak atau bangkai selain perniagaan mempunyai unsur riba.

Artikel itu menyebut, hukum haram tetapi sah berjual beli dalam tempoh PKP itu berdasarkan hukum yang diqiyaskan kepada hukum haram menjalankan perniagaan selepas azan kedua pada hari Jumaat sehinggalah selesai solat Jumaat.