KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat untuk memfailkan permohonan bagi mencabar pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan wang tunai bernilai jutaan ringgit dalam pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas di Mahkamah Sesyen di sini.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, permohonan itu hanya akan difailkan selepas pihaknya menerima dan meneliti semua dokumen berkaitan kes berkenaan.
Menurutnya, beberapa isu perundangan akan dibangkitkan termasuk mencabar kewajaran dan kesahan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu.
“Sudah tentu kami akan memfailkan permohonan selepas meneliti dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes berkenaan.
Semasa prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin berkata, sebahagian dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Menurutnya, lima jilid dokumen di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 antaranya dokumen sitaan serta beberapa dokumen perisytiharan harta milik Ismail Sabri telah diberi kepada barisan peguamnya.
“Pendakwaan mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk baki dokumen dan senarai saksi,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Dalam pada itu, Amer Hamzah memohon baki dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh prosiding akan datang.
“Ini kerana mungkin terdapat permohonan yang akan kami failkan dan pembelaan perlu meneliti dokumen tersebut terlebih dahulu,” katanya.
Selepas mendengar perkara terbabit, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Disember depan.
Mengikut pertuduhan, ahli politik UMNO itu didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis berkenaan telah dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AU$352,850.
Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold (lima gram).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.