MELAKA - Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) Melaka menghadiri jamuan makan malam tertutup bagi sesi ‘suai kenal’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Setakat jam 8.30 malam, antara pimpinan Bersatu Melaka yang dilihat hadir ialah Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk R Sri Sanjeevan; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Mohammad Ali Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Turut kelihatan ialah Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut dijangka hadir pada majlis berkenaan.
Hishamuddin ketika ditemui memaklumkan, jamuan berkenaan dianjurkan Bilik Gerakan Utama Bersatu sebagai sesi makan malam bersama pimpinan parti menjelang PRN Melaka.
Menurutnya, majlis itu tidak melibatkan sebarang pertemuan rasmi atau agenda khusus, sebaliknya hanya jamuan makan malam dan perkongsian pandangan berkaitan persediaan menghadapi PRN.
"Tiada pertemuan rasmi, hanya jamuan makan malam. Kita dah banyak kali berjumpa, hari ini datang makan bersama.
"Lebih kurang 25 orang pengerusi parti dan pengarah pilihan raya hadir. Selepas makan malam, ada ucapan daripada Datuk Seri Ali (Mohammad Ali Mohamad), kemudian Adly," katanya.
Jamuan makan malam itu dijadual bermula jam 9 malam.
Sebelum ini, Adly memberitahu PH Melaka akan menggunakan formula PH Plus bagi PRN Melaka dengan kerjasama parti lain yang mempunyai aspirasi sama, namun setakat ini tidak melibatkan Barisan Nasional (BN).
Adly memberitahu, rundingan dengan Bersatu turut diadakan bagi kerjasama politik namun belum mencapai keputusan muktamad.