KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Melaka menggunakan peti undi esok untuk menolak pihak yang memperalatkan agama demi kepentingan politik dan mereka yang terbabit dalam rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengundi Melaka berpeluang menyampaikan mesej tegas dan menjadi sinar harapan kepada rakyat yang mahu melihat negara bebas daripada rasuah.
Iklan
Iklan
"Esok, rakyat Melaka berpeluang menyampaikan mesej yang tegas melalui peti undi... tolak penunggang agama dan mereka yang bersembunyi di sebalik topeng membela kaum tetapi hakikatnya menjulang perasuah," katanya.
Anwar berkata, sikap berdiam diri dan bertolak ansur terhadap rasuah sudah terlalu lama merosakkan negara dan perlu dihentikan menerusi pilihan pengundi.
"Kita hentikannya di peti undi esok. Selamatkan Melaka. Selamatkan negara. Undilah HARAPAN," katanya.
Sebanyak 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRN Melaka ke-16 esok, dengan peratusan keluar mengundi dijangka mencecah 70 peratus.- Bernama