PRN Melaka: 240 pusat mengundi dibuka esok libat 1,213 saluran - SPR

Iklan
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek hari ini, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 esok. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran di seluruh negeri akan dibuka esok bagi membolehkan 675,166 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sebanyak 11,103 petugas telah digerakkan bagi memastikan kelancaran proses pengundian di kesemua pusat mengundi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, SPR turut menyelesaikan proses semakan semua peralatan mengundi, termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi, serta memastikan kelengkapan itu berada dalam keadaan baik sebelum diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran.

"Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Khairul Shahril turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan serta catatan maklumat pengundian untuk ditunjukkan kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi melancarkan proses semakan, selain tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak selain petugas pilihan raya.

Pengundi juga disaran membuat semakan awal pusat mengundi, saluran serta nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7218.

Iklan

Pada masa sama, SPR mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja berdaftar untuk keluar mengundi esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini dan semua pihak bertanding wajib menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen, termasuk merayu undi di luar pusat mengundi mahupun menerusi platform media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok dan Threads.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Khairul Shahril ketika mengulas mengenai tatacara di pusat mengundi memaklumkan penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah dilarang dan pengundi perlu meletakkan peranti itu di tempat disediakan selepas menerima kertas undi sebelum mengambilnya semula selepas selesai mengundi.

Selain itu, pengundi, calon dan petugas dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa sebarang bahan yang memaparkan nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon serta slogan berunsur kempen ke dalam pusat mengundi.

"Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggar peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SPR akan meneruskan pelaksanaan rintis sistem Pengecaman Aksara Optik - Kehadiran Pengundi (OCR-VA) secara menyeluruh di semua saluran mengundi bagi mempercepat proses semakan serta merekod kehadiran secara digital tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.

Orang ramai dan pihak berkepentingan juga boleh memantau peratusan keluar mengundi secara masa nyata sepanjang hari esok menerusi portal dashboard.spr.gov.my manakala keputusan rasmi bagi semua 28 DUN akan diumumkan selepas proses penjumlahan rasmi undi selesai.- Bernama