BN perlu elak terlalu yakin, usaha hingga saat akhir bawa keluar pengundi – Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan jentera BN pada program Santai Keluarga Rembia di Alor Gajah pada Jumaat.

ALOR GAJAH – Barisan Nasional (BN) perlu memastikan seluruh jentera parti terus bekerja sehingga saat akhir bagi menggerakkan penyokong keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tahap keyakinan berlebihan dalam kalangan penyokong sehingga merasakan kemenangan sudah terjamin boleh menjejaskan peluang BN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan pilihan raya hanya bergantung kepada keupayaan jentera menggerakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

"Jika kita dapat mengeluarkan pengundi putih yang menyokong kita sama ada daripada BN atau Perikatan Nasional (PN) keluar beramai-ramai sebelum jam 12 tengah hari kerana bimbang petang hujan, maka ramalan yang mengatakan BN menang besar esok akan menjadi kenyataan.

Iklan

"Tetapi jika kita berlengah dan ada yang terlalu yakin sehingga merasakan tidak perlu keluar mengundi, itu berbahaya," katanya ketika ditemui pada program Santai Keluarga Rembia di sini pada Jumaat.

Ahmad berkata, walaupun aktiviti berkempen sudah berakhir, jentera parti masih boleh membantu menggerakkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Iklan

"Kita meminta seluruh jentera BN termasuk Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan cawangan supaya terus bekerja sehingga pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang," katanya lagi.

Mengulas kerjasama BN-PN, Ahmad berkata, gabungan berkenaan merupakan formula yang telah menyumbang kepada kemenangan di Negeri Sembilan sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu menunjukkan perkembangan positif dan beliau berharap ia dapat diteruskan di Melaka sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Di Johor, kita masih berlawan 11 kerusi, tetapi arahan daripada pemimpin Pas, kawasan yang Pas tidak bertanding hendaklah mengundi BN.

"Jadi kita dah bermula di Johor, bertambah baik di Negeri Sembilan dan saya kira di Melaka inilah yang terbaik sebelum kita melangkah seterusnya ke PRU," katanya.