Kemelut Negeri Sembilan: Ismail Lasim tiba di WTC

Iklan
Ismail tiba di bangunan WTC Kuala Lumpur, dipercayai bagi menghadiri pertemuan bersama ADUN BN.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini dipercayai bagi menghadiri pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Ismail tiba di bangunan berkenaan sebelum menunaikan solat Maghrib.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan masa sebenar pertemuan itu akan bermula.

Pertemuan itu susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan bersama 25 ADUN BN malam ini bagi menyelaras langkah seterusnya dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung perkembangan politik di Negeri Sembilan.

Iklan

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, beberapa pilihan akan dibincangkan dalam pertemuan itu sebelum satu penyelesaian diputuskan dengan mengambil kira ketetapan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau turut memberikan mandat kepada Ismail untuk mencari penyelesaian terbaik, termasuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pihak lain dalam hierarki adat negeri.

Iklan

Perkembangan itu berlaku selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa 20 September lalu selepas mereka didapati melanggar ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Susulan perkembangan itu, Ismail kini menjadi satu-satunya anggota pentadbiran kerajaan negeri yang masih memegang jawatan secara rasmi, manakala beberapa langkah sedang diusahakan bagi memastikan urusan pentadbiran negeri terus berjalan.