SUBANG JAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengenal pasti calon pilihan raya umum lebih awal bagi membolehkan mereka memperkenalkan diri kepada pengundi, selain memberi ruang kepada parti membuat persiapan lebih sistematik.
Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu disertai pengukuhan jentera dan naratif parti penting bagi membolehkan Amanah mempertahankan kedudukan sedia ada serta mencapai sasaran menambah kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, Amanah menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi 18 kerusi Parlimen pada PRU16 bagi membolehkan parti itu memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan ummah.
"PRU16 perlu dilihat sebagai cabaran getir dan anggota parti tidak boleh berada dalam keadaan selesa, sebaliknya perlu kembali memperkukuh kekuatan akar umbi termasuk menambah cawangan, keahlian serta memperkemas jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya ketika berucap pada pelancaran jentera pilihan raya Amanah Selangor di sini hari ini.
Mujahid berkata Amanah berdepan risiko hanya mampu mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 jika gagal memperkukuh kekuatan jentera dan sokongan pengundi.
Beliau berkata, berdasarkan kajian dan simulasi dalaman parti dalam senario tertentu, hanya kerusi Parlimen Kota Raja yang disandang Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dilihat mampu dipertahankan manakala kerusi lain bakal berdepan cabaran besar.
Mujahid berkata, Amanah juga perlu memperkukuh naratif Islam Rahmatan Lil ’Alamin sebagai teras perjuangan parti, termasuk meyakinkan pengundi Melayu dan Islam bahawa parti itu mampu memberi perlindungan serta memperjuangkan kepentingan mereka tanpa mengetepikan hak masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu.
Beliau berkata, sokongan pengundi boleh berubah apabila mereka merasakan keselamatan, masa depan ekonomi dan kepentingan keluarga mereka lebih terjamin di bawah sesuatu parti.
Selain itu, Mujahid menggesa pimpinan Amanah memberi perhatian lebih serius terhadap anggota akar umbi bagi mengelakkan mereka meninggalkan parti, termasuk dengan menghargai pengorbanan serta kebajikan. - Bernama