10 wanita muda ditemui maut dipercayai angkara pembunuh bersiri

Iklan
Polis Afrika Selatan menemukan mayat seorang lagi wanita di Ekurhuleni, timur Johannesburg, menjadikan jumlah wanita yang ditemukan mati di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu meningkat kepada 10 orang.

JOHANNESBURG - Polis Afrika Selatan menemukan mayat seorang lagi wanita di Ekurhuleni, timur Johannesburg, menjadikan jumlah wanita yang ditemukan mati di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu meningkat kepada 10 orang.

Mayat mangsa ditemukan pada pagi Sabtu di sebuah tanah perkuburan di kawasan Tembisa. Identitinya dikenal pasti oleh seorang rakan yang bersamanya di sebuah bar pada malam sebelumnya.

Iklan
Iklan

Pesuruhjaya Polis Gauteng, Tommy Mthombeni, berkata polis masih menyiasat sama ada kematian terbaharu itu mempunyai kaitan dengan siri kes lain yang berlaku di Ekurhuleni dan Soweto.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya pembunuh bersiri memandangkan terdapat persamaan dari segi profil mangsa dan modus operandi dalam kebanyakan kes yang disiasat.

Iklan

"Buat masa ini kami tidak boleh mengesahkan kewujudan pembunuh bersiri, namun pada masa sama kami juga tidak boleh menolak kemungkinan itu," katanya kepada pemberita.

Kes-kes berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat dan meningkatkan kebimbangan terhadap keganasan terhadap wanita di negara itu, yang mempunyai antara kadar keganasan berasaskan gender tertinggi di dunia.

Iklan

Menurut penyiar nasional SABC, rakan mangsa mengenal pasti pakaian wanita itu daripada gambar yang ditunjukkan polis.

"Saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan kepada anak-anaknya. Ia sangat menyakitkan," katanya sambil menahan sebak.

Sejak Julai lalu, sembilan lagi mayat wanita ditemukan dalam keadaan yang hampir sama, kebanyakannya di Kempton Park yang terletak berhampiran Tembisa.

Sebahagian besar mangsa merupakan wanita muda dan hampir kesemuanya dipercayai mengalami keganasan melampau sebelum dibunuh.

Gelombang pembunuhan itu turut meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Afrika Selatan, kurang setahun selepas keganasan berasaskan gender diisytiharkan sebagai bencana nasional.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Afrika Selatan minggu lalu melaporkan seramai 569 wanita dibunuh manakala 1,052 lagi terselamat daripada cubaan membunuh antara April dan Jun tahun ini.

Sementara itu, tiga lelaki telah dihadapkan ke mahkamah awal minggu ini atas tuduhan terbabit dalam salah satu daripada kes pembunuhan berkenaan, manakala polis sedang mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut. - Awani