CHANDIGARH – Seorang anggota polis di India ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala selepas ditembak anak lelakinya berusia 18 tahun susulan pertikaian mengenai hasrat remaja itu untuk berkahwin dengan teman wanitanya.
Mangsa, Nitin Singh yang bertugas sebagai Ketua Konstabel Polis Chandigarh ditemukan di kediaman kerajaan di Sektor 22 pada Jumaat.
Polis menemukan sepucuk pistol buatan sendiri di lokasi kejadian dan menahan anak mangsa, Armaan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek mendesak ibu bapanya membenarkan dia berkahwin dengan segera, namun mereka memintanya menunggu sehingga berusia 21 tahun.
Suspek juga didakwa mendesak ibu bapanya membawa teman wanitanya tinggal di rumah mereka selain meminta wang untuk pelbagai keperluan.
Menurut laporan, dia dipercayai meminta 1 juta rupee (RM42,520) daripada bapanya bagi tujuan perkahwinan.
Selepas kejadian, Armaan turut didakwa cuba mencederakan ibunya dengan mencekik leher wanita itu.
Bagaimanapun, ibunya berjaya melepaskan diri sebelum berlari ke bumbung rumah dan meminta bantuan jiran.
Seorang jiran mendakwa suspek kemudian cuba memberikan gambaran seolah-olah orang luar memasuki rumah berkenaan.
Polis berkata, suspek tidak menunjukkan rasa kesal atas perbuatannya.
Armaan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan selepas terlibat dalam kes kemalangan yang mengorbankan dua beradik selepas kenderaan dipandunya merempuh motosikal dinaiki mangsa di Manimajra.
Polis kini telah menahan Armaan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bapanya. - Agensi