KUALA PILAH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mencontohi ketegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam menangani kes buli di institusi pendidikan dengan mengamalkan prinsip ‘You Touch, You Go’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Za'idy Abdul Kadir berkata, pendirian tegas itu penting bagi memastikan isu buli tidak lagi dianggap sebagai kenakalan biasa, gurauan atau sebahagian daripada budaya senioriti dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, tragedi membabitkan Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia, menuntut penjelasan serius berhubung aspek pencegahan dan keselamatan pelajar.
"Persoalannya bukan hanya apa yang berlaku selepas seorang pelajar kehilangan nyawa.
"Persoalan lebih besar ialah adakah sistem pencegahan buli, pemantauan asrama dan penguatkuasaan disiplin di sekolah kita benar-benar cukup tegas untuk mengesan dan menghentikan buli sebelum ia menjadi tragedi?" katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya menghormati siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian itu, termasuk penahanan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan.
Selain itu, beliau menyeru semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar dikenal pasti.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengesahkan seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan, manakala KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan
Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun
Mohd Za’idy berkata, KPM perlu menjelaskan tahap pemantauan dan pengawasan di asrama SMK Za’ba sebelum kejadian, termasuk sama ada terdapat aduan atau tanda awal berkaitan buli yang pernah diterima pihak sekolah.
Katanya, kementerian juga perlu memastikan sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar yang terbukti terlibat dilaksanakan selaras dengan peraturan dan garis panduan sedia ada.
“Dalam soal membanteras buli, saya berpandangan KPM boleh mencontohi ketegasan Pengerusi MARA dalam menangani kes buli di institusi pendidikan di bawah seliaan MARA.
“Asyraf Wajdi secara terbuka menegaskan prinsip ‘You Touch, You Go’ sebagai mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap perbuatan buli di MRSM dan institusi pendidikan MARA,” katanya.
Pada Jun lalu, enam pelajar MRSM di Johor yang ditahan bagi membantu siasatan kes buli diarahkan berdepan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah.
Pada 30 Jun, MARA mengesahkan empat daripada enam pelajar terbabit disingkirkan selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bersidang, manakala dua lagi digantung sementara menunggu pengesahan polis berhubung penglibatan mereka dalam sentuhan fizikal terhadap mangsa.
Sebelum keputusan itu dibuat, Asyraf Wajdi dilaporkan mengarahkan mesyuarat JDM diadakan dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan dan mengambil tindakan paling tegas terhadap pelajar yang didapati terlibat.
Mohd Za’idy berkata, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa tindakan terhadap buli bukan semata-mata berkaitan hukuman selepas kejadian, sebaliknya turut melibatkan aspek pencegahan, pemantauan dan keupayaan institusi mengenal pasti tanda awal salah laku.
“Bila ada aduan, siasatan mesti segera.
“Bila ada bukti, tindakan mesti diambil. Bila terbukti bersalah, tindakan mesti tegas.
“Bila ada risiko kepada keselamatan pelajar, jangan tunggu sehingga berlaku tragedi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa KPM memperkukuh pemantauan warden, sistem aduan pelajar, perlindungan kepada mangsa dan pemberi maklumat serta pengawasan di lokasi yang dikenal pasti berisiko berlaku buli di sekolah berasrama.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya sesuatu perbuatan mempunyai unsur jenayah, proses undang-undang hendaklah berjalan sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang dengan mengambil kira umur suspek serta proses keadilan yang terpakai.
“Nyawa dan keselamatan anak-anak tidak boleh dikompromikan demi menjaga nama baik mana-mana sekolah atau institusi.
“Kita mahu satu mesej yang jelas kepada seluruh warga sekolah: buli bukan budaya, buli bukan gurauan dan pembuli tidak boleh diberi ruang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, isu buli dan salah laku pelajar juga perlu ditangani tanpa mengira latar belakang pihak yang membuat aduan.
Beliau mendakwa pernah berdepan pengalaman apabila aduan berkaitan seorang ahli keluarganya yang bersekolah di Subang tidak diberikan perhatian sewajarnya ketika beliau hadir sebagai orang awam.
“Kalau seorang ibu atau bapa datang mengadu, jangan tengok siapa dia. Tengok masalah yang dibawa dan keselamatan anak yang terlibat.
“Jangan tunggu sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk baru kita hendak bertindak,” katanya.
Daniel berkata, setiap aduan berkaitan buli atau salah laku perlu direkodkan dan ditangani mengikut prosedur ditetapkan tanpa mengira identiti pengadu.
Katanya, gangguan, ugutan dan salah laku berunsur seksual juga perlu diberikan perhatian segera kerana isu buli tidak terhad kepada pergaduhan fizikal atau ejek-mengejek semata-mata.