PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan sembilan sebatan terhadap seorang bekas guru pendidikan jasmani atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap bekas pelajarnya, empat tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan Mohd Hamizan Nawai terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan, dengan memutuskan bahawa tiada alasan untuk mengetepikan dapatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
Hakim Noorin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Datuk Amarjeet Singh, mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Mohd Hamizan bagi membolehkannya mula menjalani hukuman penjara hari ini.
Sebelum ini, Mohd Hamizan, 49, memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM13,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Pada 9 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen Teluk Intan mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang juga pelajarnya ketika itu, dalam tiga kejadian berasingan di sebuah rumah di Batang Padang, Perak, masing-masing pada 2 petang pada April, Mei dan Jun 2022.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadapnya.
Mohd Hamizan turut dikenakan hukuman penjara tambahan selama setahun dan dua sebatan atas kesalahan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman terhadap individu yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak ketika berada dalam kedudukan yang diamanahkan untuk menjaga atau melindungi mangsa.
Mahkamah Sesyen memerintahkan semua hukuman bagi setiap pertuduhan dijalankan secara serentak.
Pada 6 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Muhamad Syahri Adnan yang mewakili Mohd Hamizan berhujah bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa berhubung tarikh kejadian yang didakwa berlaku itu.
Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar, bagaimanapun, menyangkal hujah itu dengan menyatakan bahawa keterangan mangsa memenuhi kehendak undang-undang, selain disokong bukti dokumentari serta keterangan saksi yang mengukuhkannya.- Bernama