SHAH ALAM - Seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
"Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Fadhlina berkata, beliau pagi ini hadir ke sekolah berkenaan untuk bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak PDRM bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu dan tindakan yang sudah diambil.
Beliau berkata, di peringkat KPM, aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh.
“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan,” katanya.
Fadhlina berkata, tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, manakala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun
Dalam pada itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham. KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada Jumaat malam.
Mangsa yang berasal dari Gemencheh itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.