Guru maut motosikal dirempuh SUV

Iklan
Roshaizat (gambar kecil) mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUANTAN - Seorang guru Kolej Vokasional Kuantan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Semambu berhampiran Petronas Semambu di sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Roshaizat Abdul Kadir, 56, mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati SUV terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran, mangsa yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.

Iklan

“Pemandu SUV yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Ashari menambah, polis turut mendapatkan rakaman kamera papan pemuka dan akan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit.

Iklan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan," katanya.