JOHOR BAHRU - Teruja dengan deruman enjin motosikal klasik sejak remaja, Abbas Moideen, 54, sanggup berhabis wang demi memiliki dan menghidupkan semula jentera berusia puluhan tahun itu.
Biarpun koleksinya mungkin tidak sebanyak pengumpul lain, namun bagi Abbas, memiliki tiga motosikal klasik memberikan kepuasan tersendiri kepadanya.
Menurutnya, setiap motosikal klasik mempunyai keunikan dan cerita tersendiri, malah kepuasan memilikinya bukan sekadar terletak pada nilai, tetapi juga pengalaman mencari alat ganti, membaiki serta menghidupkan semula motosikal lama.
Jelas beliau, motosikal klasik pertama dimilikinya ialah Triumph Speed Twin 5T keluaran 1939 yang diperoleh kira-kira 22 tahun lalu dalam keadaan kurang baik.
“Saya ambil masa kira-kira dua tahun untuk baik pulih motosikal itu dengan kos sekitar RM15,000.
“Bercakap soal barang ganti, ia bukan mudah hendak dicari. Zaman itu belum ada teknologi seperti sekarang, jadi kita kena telefon atau cari orang yang memang minat motor klasik untuk dapatkan barang ganti.
“Saya cari sampai ke Ipoh, Pulau Pinang dan Gemas,” katanya.
Selain motosikal berkenaan, Abbas turut memiliki Ariel Twin Port keluaran 1940 dan Triumph Tiger 100 keluaran 1956.
Menurut Abbas, nilai motosikal klasik kini semakin meningkat, namun kepuasan memiliki dan menjaga jentera berusia puluhan tahun tidak boleh diukur dengan wang.
“Kalau ada duit pun belum tentu boleh dapat sebab ramai pemilik motor klasik tidak mahu jual.
“Bagi saya, kepuasannya apabila kita berjaya cari barang, baiki dan hidupkan semula motor yang sudah lama. Itu yang membuatkan kita rasa berbaloi,” katanya.
Minat mendalam terhadap jentera klasik itu turut mendorong Abbas menghimpunkan kira-kira 50 peminat sebelum menubuhkan Southern Classic Motor Club (SCMC).
Bercerita mengenai aktiviti SCMC, Abbas yang juga presiden kelab berkata, SCMC aktif menganjurkan pelbagai program termasuk konvoi dan jelajah.
“Pada 1 hingga 3 Mei lalu, SCMC menganjurkan Malaysia International Classic Bike Festival (MICBF) di Persada Johor International Convention Centre.
“Ia berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Australia,” katanya.
Beliau yang bekerja sendiri berkata, aktiviti konvoi dan jelajah ke seluruh negara turut menjadi antara program utama komuniti berkenaan, selain menyertai perbarisan sempena Hari Kebangsaan.
Minat Abbas terhadap motosikal klasik kini turut dikongsi anaknya, Mohd Hamizan, 27, yang membesar dalam komuniti berkenaan.
Jelasnya, Hamizan mula terdedah kepada dunia motosikal sejak berusia tujuh tahun apabila sering mengikutnya menyertai pelbagai aktiviti konvoi dan jelajah motosikal klasik ke seluruh negara.