Banjir kilat: Bomba selamatkan 16 mangsa termasuk kanak-kanak

Iklan
Bomba menyelamatkan 16 mangsa dalam kejadian banjir kilat di Nibong Tebal. Foto: Bomba

NIBONG TEBAL – Seramai 16 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak diselamatkan anggota bomba selepas beberapa rumah di Kampung Sethu, Sungai Bakap, di sini dinaiki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi Rabu.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu berlaku susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air meningkat sehingga kira-kira tiga kaki.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah malam sebelum diarahkan menjalankan operasi menyelamat.

Menurutnya, beberapa mangsa dilaporkan terperangkap di dalam rumah masing-masing akibat kenaikan paras air.

Iklan

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada waris masing-masing yang turut berada di lokasi kejadian.

“Pasukan operasi kemudian menjalankan pemantauan dan mendapati paras air beransur surut sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Iklan

Tambah John, kesemua mangsa membabitkan tiga keluarga terdiri daripada sembilan dewasa dan tujuh kanak-kanak.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, bomba turut menjalankan pemantauan banjir kilat di Lorong Jawi Jaya 1, Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, pada malam Selasa.

Menurut John, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat serta peningkatan paras air sungai berhampiran sehingga menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air sedalam kira-kira 30.5 sentimeter.

"Anggota dari BBP Nibong Tebal tiba di lokasi pada jam 10.32 malam sebelum menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan di kawasan terjejas selamat.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan tiada operasi menyelamat dijalankan dalam kejadian berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, sebuah kereta jenis Perodua Bezza mengalami kerosakan selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Changkat, di sini, awal pagi Rabu.

John berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, pokok berkenaan turut menghempap sebahagian kecil garaj sebuah rumah.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum jentera dari BBP Nibong Tebal tiba di lokasi pada jam 1.16 pagi.

"Seramai lapan anggota termasuk penyelia dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang berkenaan.

“Komander operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang," ujarnya.

Tambahnya kagi, selepas memastikan tiada bahaya lain, lokasi kejadian diserahkan kepada pemilik rumah untuk tindakan selanjutnya.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Operasi yang menggunakan sebuah jentera LFRT itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.35 pagi," katanya lagi.