SUNGAI PETANI – Senaman kerusi antara aktiviti menarik perhatian warga emas sempena Program Menuju Usia Emas: Sihat, Aktif dan Bahagia anjuran Yakult Malaysia Sdn Bhd (Yakult Malaysia), di sini pada Rabu.
Pengarah Bersekutu Bahagian Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia, Mazlyn Mena Mustapha berkata, selain senaman kerusi, peserta turut menyertai senaman ringan dan Wai Tan Kung.
Menurutnya, stamina peserta warga emas tetap membanggakan walaupun pelbagai aktiviti kecergasan disusun sepanjang program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
"Yakult Malaysia juga memberi kesedaran terhadap kepentingan pengambilan makanan seimbang selain probiotik yang dapat membantu fungsi usus dan menyokong tindak balas imun badan atau sistem pertahanan badan.
Jelasnya, inisiatif berkenaan turut bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat bahawa Yakult bukan sekadar minuman untuk kanak-kanak, sebaliknya sesuai dinikmati semua peringkat usia.
Katanya, program dengan kerjasama Hospital Pantai Sungai Petani dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) itu disertai lebih 100 warga emas.
"Melalui program ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran warga emas mengenai kepentingan pemakanan seimbang, penjagaan kesihatan usus dan amalan gaya hidup sihat," katanya.
Beliau berkata, antara pempamer yang turut menjayakan program termasuk Hospital Pantai Sungai Petani, 20dB Hearing Sungai Petani, WearHaus Optical dan Medyna Physiotherapist Sungai Petani.
Sementara itu, Pegawai Dietetik Hospital Pantai Sungai Petani, Nurul Mirza berkata, pengambilan probiotik dapat membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, sekali gus menyokong kesihatan pencernaan dalam kalangan warga emas.
Bagi suri rumah, Rohani Nordin, 80, berkata, program berkenaan memberi peluang kepada warga emas bersosial, selain mempraktikkan gaya hidup sihat.
Rohani berkata, selain menghadiri kelas pengajian dan aktiviti riadah anjuran PAWE, dia turut mengisi masa lapang dengan menjahit, membuat gubahan bunga serta menghias rumah.
"Saya gembira masih boleh memandu dan menjalankan aktiviti bersama rakan lain, walaupun ada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, saya tetap aktif mengisi masa dengan pelbagai program," katanya.
Seorang lagi peserta, Rokiyah Shaari, 78, berkata, faktor usia bukan penghalang untuk terus menyertai pelbagai aktiviti termasuk bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO).
"Bagi mengekalkan kesihatan optimum, saya mengamalkan pengambilan makanan secara seimbang, sentiasa bersenam dan aktif.
"Program dianjurkan ini sudah pasti amat baik kerana memfokuskan penjagaan kesihatan warga emas, pemeriksaan kesihatan secara percuma termasuk khidmat nasihat berkaitan kesihatan fizikal, pergigian, pendengaran, penglihatan dan fisioterapi," katanya.