15 ahli komuniti Emas Sri Semantan terima banglo RM350,000

Iklan
Kesemua 15 Freedom SSPC yang menerima replika kunci rumah banglo masing-masing. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

PASIR MAS - Seramai 15 ahli Sri Semantan Privilege Club (SSPC) di seluruh negara masing-masing menerima banglo bernilai RM350,000 selepas mencapai tahap jualan emas berjumlah 20 gram.

Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, penerima terdiri daripada ahli dari Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor dengan projek berkenaan menjadi fasa pertama pemberian kediaman kepada ahli yang mencapai tahap Freedom tersebut.

Iklan
Iklan

Mohamad Hafizal

Menurutnya, setiap banglo mempunyai empat bilik dengan keseluruhan nilai 15 kediaman itu sekitar RM4.5 juta.

Iklan

“Rumah ini adalah pencapaian tertinggi bagi mereka selepas melalui beberapa fasa tertentu dalam komuniti, bermula daripada Affiliate, Assistant Manager, Manager, Master Manager sebelum mencapai tahap Freedom.

“Selain rumah, mereka sebelum ini turut berpeluang menerima pelbagai ganjaran termasuk kereta, pakej melancong, umrah dan emas untuk simpanan peribadi,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Freedom dan Kenduri SSPC di Tok Uban di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohamad Hafizal mengendalikan jengkaut sebagai gimik perasmian pecah tanah.

Beliau berkata, kelayakan untuk mencapai tahap Freedom melibatkan pencapaian kumpulan dengan jualan sebanyak 20 kilogram emas.

Katanya, pemberian kediaman itu bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian ahli malah sebahagian daripada usaha membina komuniti yang dapat berkongsi manfaat daripada aktiviti berkaitan emas.

Mohamad Hafizal (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada Mohd Din (tiga dari kanan).

“Antara mereka bukan daripada golongan yang hidup mewah. Ada yang sebelum ini berniaga kecil-kecilan, menjaja dan ada juga penerima asnaf.

“Kami mahu mereka sama-sama berkongsi rezeki dan membantu masyarakat melalui komuniti yang dibentuk,” katanya.

Mohamad Hafizal berkata, penyerahan rumah berkenaan dimulakan di Kelantan sebagai lokasi pertama sebelum konsep sama dikembangkan ke negeri lain pada masa akan datang.

Beliau berkata, Emas Sri Semantan bukan sebuah syarikat pemaju perumahan, sebaliknya hanya menjalankan perniagaan emss dan kediaman itu merupakan inisiatif penghargaan kepada ahli yang mencapai tahap membanggakan dalam perniagaan emas.

Sementara itu, bekas pemandu e-hailing, Mohd Din Sugiman, 61, antara penerima banglo berkenaan berkata, penyertaan dalam perniagaan emas bersama Emas Sri Semantan menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya selepas melalui tempoh sukar dalam kehidupannya.

Mohd Din berkata, dia sebelum ini mencari pendapatan sebagai pemandu e-hailing selama lima tahun terpaksa bekerja jarak jauh hingga ke beberapa negeri bagi mencari rezeki.

“Saya memang orang yang kehidupannya amat daif, asnaf. Saya pernah memandu e-hailing dari Kuantan, Pulau Pinang, Perlis hingga Johor untuk mencari makan.

“Saya mula menyertai Emas Sri Semantan pada 2 Jun tahun lepas dan mencapai pencapaian pertama lima kilogram emas sekitar November tahun sama sebelum akhirnya mencapai tahap Freedom dalam tempoh kira-kira setahun,” katanya.

Menurutnya, sebelum menerima banglo berkenaan, dia terlebih dahulu memperoleh beberapa ganjaran termasuk sebuah Toyota Vios dan Vellfire hasil pencapaian yang dicapainya.

Para penerima bergambar di tapak rumah banglo yang diterima oleh mereka. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Mohd Din berkata, dia juga bukan lagi penerima bantuan asnaf selepas memperoleh pendapatan melalui aktiviti jualan emas bersama komuniti tersebut.

“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberi peluang mengubah kehidupan daripada dulu bukan siapa-siapa, tetapi sekarang dapat mencapai kejayaan seperti ini,” katanya.