OSK Property bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rakan kongsi pembinaan, Multiplex, memulakan pembinaan menara AURA setinggi 67 tingkat bernilai AUD800 juta (RM2.22 bilion) di Melbourne Square, Southbank.
Menara berkenaan dijadualkan siap pada awal tahun 2030 dan setakat ini, lebih 140 unit telah terjual sejak pra pelancaran pada suku kedua tahun ini.
AURA merupakan fasa ketiga pembangunan Melbourne Square selepas kejayaan BLVD yang masih dalam pembinaan, dengan proses penyelesaian pembelian bermula Oktober depan.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Australia, Woon Chong Boon berkata, pembinaan AURA menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Melbourne Square.
"AURA mewakili pengalaman gaya hidup unik untuk penghuni dengan menggabungkan ketenangan, kejelasan dan kesederhanaan reka bentuk Jepun.
"Kami amat berbangga kerana memulakan kerja pembinaan satu lagi menara kediaman di Southbank yang bakal menyumbang kepada pembangunan bandar yang unik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dengan harga bermula AUD565,000 (RM1.6 juta), AURA menawarkan unit studio, unit satu hingga tiga bilik tidur selain penthouse serta Mira Terraces yang menyediakan ruang luar lebih luas.
Projek berkenaan turut menampilkan konsep berinspirasikan Jepun dengan kemudahan kesejahteraan termasuk kolam renang, gimnasium, bilik yoga, kawasan pilates, spa rendaman air panas dan sejuk, sauna serta bilik wap.
Sementara itu Pengerusi Eksekutif OSK Holdings, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, AURA merupakan visi seterusnya dalam pembangunan Melbourne Square.
"AURA bukan sekadar sebuah lagi menara. Ia mewakili bab seterusnya dalam Melbourne Square, meneruskan visi kami untuk mewujudkan komuniti yang saling berhubung dan berkembang maju di tengah Southbank," ujarnya.
AURA turut menerima beberapa pengiktirafan PropertyGuru Asia Property Awards, termasuk Best Luxury Apartment Development (Victoria), Best Wellness Residential Development, Best Apartment Interior Design dan Best Apartment Development (Australia).
OSK Property pula menerima anugerah Best Lifestyle Apartment Developer.