PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 mencatatkan nilai jualan sebanyak RM5.2 bilion dalam tempoh dua hari sejak bermula pada Rabu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu membuktikan MIHAS terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform utama produk dan perkhidmatan halal di peringkat global.
Menurut beliau, penganjuran MIHAS yang konsisten berjaya membentuk jenama tersendiri dalam industri pameran halal antarabangsa.
“Walaupun beberapa negara turut menganjurkan pameran atau showcase yang sama, MIHAS kekal sebagai jenama pameran produk dan perkhidmatan halal terbaik di dunia.
“Pencapaian ini perlu dipertahankan dan apabila ia diperluaskan ke luar negara, potensi jualan akan menjadi lebih besar selain urusan perniagaan ke perniagaan (B2B) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 dan MIHAS Ke-22 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia perlu memperkukuh koordinasi antara agensi berkaitan bagi merebut peluang pasaran halal global yang dijangka mencecah AS$3.3 trilion menjelang 2030.
Katanya, usaha itu perlu membabitkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC) serta kerajaan negeri yang mempunyai taman industri halal.
"Eksport halal negara merekodkan RM68.52 bilion pada 2025.
"Kini, kita menyasarkan peningkatan eksport halal kepada RM80 bilion menjelang 2030, dengan industri halal menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan dan Wilayah berkata, ketika ini hanya 14.7 peratus daripada syarikat yang memiliki pensijilan halal terlibat sebagai pengeksport.
“Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, lebih banyak syarikat perlu dibantu untuk menembusi pasaran antarabangsa. Pensijilan halal hanyalah langkah permulaan.
“Syarikat juga memerlukan kapasiti pengeluaran yang konsisten, pembungkusan yang sesuai, modal kerja mencukupi, logistik yang cekap serta kefahaman terhadap pasaran sasaran,” katanya.
Menurut beliau, peluang industri halal tidak seharusnya tertumpu kepada sektor makanan semata-mata, sebaliknya diperluaskan ke bidang farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, logistik dan pelancongan mesra Muslim.
“Malaysia perlu menggabungkan jaminan halal dengan aspek kualiti, inovasi dan kebolehpercayaan yang menjadi keutamaan pembeli di seluruh dunia.
“Aspirasi kita adalah untuk melahirkan lebih banyak jenama Malaysia yang dikenali, menjadi pilihan pengguna dan terus mendapat kepercayaan pasaran global,” katanya.
Beliau berharap keyakinan terhadap pensijilan halal Malaysia dapat membantu usahawan tempatan membina kehadiran yang lebih kukuh dan mampan di pasaran antarabangsa.