Bank Rakyat buka laluan PMKS tembusi pasaran global

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyantuni sesi libat urus strategik Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo di Shanghai, China bagi memperkukuh kerjasama Malaysia-China dalam bidang teknologi digital, AI dan fintech.

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia bakal mendapat akses lebih luas ke pasaran antarabangsa menerusi kerjasama strategik Bank Rakyat bersama Alibaba dan Lenovo.

Kerjasama itu membuka peluang kepada PMKS, khususnya pelanggan Bank Rakyat, untuk memanfaatkan platform e-dagang, teknologi digital dan ekosistem perniagaan global bagi mengembangkan operasi melangkaui pasaran domestik.

Iklan
Iklan

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan digital bank di samping mewujudkan nilai lebih besar kepada pelanggan dan perniagaan.

"Melalui kerjasama strategik ini, Bank Rakyat menghimpunkan keupayaan teknologi global dan pemahaman kami mengenai pasaran Malaysia untuk meneroka penyelesaian yang dapat meningkatkan pengalaman pelanggan, memperkukuh kecekapan operasi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan Malaysia.

Iklan

"Antara usaha yang diterokai ialah memudahkan PMKS Malaysia mendaftar di platform e-dagang Alibaba bagi membolehkan mereka mempamerkan, memasarkan dan menjual produk kepada khalayak antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerjasama bersama Alibaba Cloud, cabang perniagaan utama Alibaba Group, turut membolehkan PMKS meneroka penggunaan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penyelesaian digital lain bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing perniagaan.

Iklan

Menurutnya, akses kepada ekosistem global dan infrastruktur digital Alibaba juga dapat membantu PMKS meningkatkan kesediaan eksport, meneroka pasaran baharu dan mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam ekonomi digital global.

Sementara itu, Lenovo akan dijemput menyertai Bank Rakyat Fintech Community Hub sebagai rakan kongsi ekosistem bagi mengenal pasti syarikat fintech berpotensi untuk bekerjasama dengan Bank Rakyat menerusi program pemecutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama itu membolehkan bank menghubungkan PMKS Malaysia dengan teknologi, platform digital dan peluang antarabangsa.

"Dengan membawa bersama pembiayaan, akses pasaran dan inovasi, kami berhasrat mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh yang membolehkan perniagaan berkembang dan mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam ekonomi global.

"Kerjasama strategik itu merupakan sebahagian daripada misi Bank Rakyat di Shanghai yang turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan PMKS, perdagangan rentas sempadan, kemajuan teknologi dan inovasi fintech," ujarnya.