Mampukah komunikasi korporat menghambat media sosial?

Iklan
Pendekatan yang lebih strategik tetapi fleksibel mungkin lebih berkesan dalam menangani isu berkaitan reputasi dan kepercayaan di media sosial. Foto hiasan

DALAM era media sosial, sesiapa yang lebih pantas membina dan mengawal naratif akan menjadi lebih berpengaruh. Malangnya, naratif yang dibina tidak semestinya betul dan bermanfaat.

Oleh sebab platform media sosial beroperasi sebagai sebuah perniagaan, mereka mahu menjadikan platform masing-masing meriah dan menarik. Jadi, kandungan yang panas, walaupun tidak benar, lebih mudah tersebar.

Iklan
Iklan

Sesiapa sahaja yang mampu menjentik emosi orang lain akan diberikan perhatian oleh algoritma media sosial. Kandungan sebegini akan disajikan kepada lebih ramai pengguna. Akhirnya, satu hantaran boleh menjadi tular walaupun kandungannya dipenuhi pelbagai maklumat yang tidak berasas.

Inilah sebabnya perniagaan dan organisasi besar perlu mengubah cara fungsi komunikasi korporat mereka beroperasi. Mereka tidak lagi boleh sekadar memberikan penjelasan selepas sesuatu yang besar berlaku, sebaliknya perlu menyampaikan dan mengulang penjelasan lebih awal sebelum perkara berkenaan dijangka berlaku.

Iklan

Biar masyarakat berasa bosan, asalkan mereka faham. Sekiranya masalah yang dijangka itu benar-benar berlaku, sudah ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami isu berkenaan dan tidak memberikan reaksi tanpa pengetahuan yang mencukupi.

Lebih baik lagi sekiranya mereka yang memahami isu tersebut turut menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh mereka yang tidak tahu hujung pangkal.

Iklan

Di samping itu, membina keyakinan dan kepercayaan terhadap perniagaan serta organisasi menjadi amat penting. Sekiranya pihak berkepentingan yakin bahawa setiap keputusan dan tindakan dibuat dengan berhati-hati serta meletakkan kepentingan mereka sebagai keutamaan, mereka akan memberikan benefit of the doubt atau ruang kepada perniagaan untuk memberikan penjelasan.

Inilah sebabnya fungsi komunikasi korporat bukan sahaja perlu diisi oleh individu yang bijaksana, malah mereka juga perlu diberikan akses kepada isu yang berpotensi menjejaskan reputasi perniagaan sebelum perkara tersebut menjadi isu besar.

Kaedah 'memadamkan kebakaran' apabila sesuatu isu tercetus sudah tidak sesuai dalam era media sosial, apabila satu isu kecil boleh bertukar menjadi masalah besar dalam tempoh satu malam sahaja.

Satu lagi cabaran ialah kemampuan mereka yang menjalankan fungsi komunikasi korporat untuk memahami pelbagai isu strategik yang sebelum ini jarang dikongsikan dengan mereka.

Sekiranya keputusan berbentuk polisi dipertikaikan di media sosial, berapa ramai dalam kalangan mereka yang mengendalikan komunikasi korporat benar-benar memahaminya? Jika mereka sendiri tidak faham, bagaimana mereka mahu menguruskan isu berkenaan dengan berkesan?

Disebabkan media sosial pada masa ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran dan tindakan masyarakat, perniagaan serta organisasi tidak lagi boleh menggunakan kaedah yang primitif dalam menjalankan operasi komunikasi korporat mereka.

Pendekatan yang lebih strategik tetapi fleksibel mungkin lebih berkesan dalam menangani isu berkaitan reputasi dan kepercayaan di media sosial.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) ataupun lembaga pengarah juga perlu lebih cakna terhadap komunikasi korporat. Pelaburan dalam bakat serta peruntukan dana perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Reputasi yang dibina selama puluhan tahun boleh ranap jika organisasi tidak mempunyai kemampuan untuk berhadapan dengan cabaran media sosial.

Sikap kedekut terhadap fungsi komunikasi mungkin sudah tidak sesuai dalam era apabila persepsi boleh berubah dalam sekelip mata.