Buat gaya menembak, pemain Israel dibuang padang

Iklan
Abu Farchi melakukan aksi menembak semasa meraikan jaringan ketika Israel tewas 1-3 kepada Austria di Linz pada Jumaat. Foto: AFP

SAMBUTAN gol yang keterlaluan memakan diri apabila penyerang Israel, Saied Abu Farchi, dilayangkan kad merah ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Austria dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA pada Jumaat.

Abu Farchi, 20, sebelum itu muncul wira sementara Israel apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-55 selepas Austria terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Romano Schmid sebelum rehat di Raiffeisen Arena.

Iklan
Iklan

Namun, kegembiraan penyerang itu tidak bertahan lama apabila dia berlari ke penjuru padang dan mengambil bendera penjuru sebelum menggunakannya untuk membuat gaya seolah-olah melepaskan tembakan.

Pengadil kemudian melayangkan kad kuning kedua kepada Abu Farchi berikutan sambutan berkenaan, sekali gus menyaksikan Israel terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain.

Iklan

Abu Farchi sudah menerima kad kuning pertama empat minit sebelum menjaringkan gol penyamaan itu.

Kelebihan jumlah pemain akhirnya dimanfaatkan Austria untuk kembali mendahului pada minit ke-90 menerusi Phillipp Mwene yang menyudahkan hantaran lintang Paul Wanner.

Iklan

Sasa Kalajdzic kemudian memastikan kemenangan tuan rumah dengan jaringan ketiga pada masa kecederaan menerusi penyudah dari jarak dekat.