Disangka sudah meninggal dunia, wanita merintih dalam keranda

Iklan
Wanita berkenaan menunjukkan tanda-tanda masih hidup selepas diletakkan di dalam keranda. - Gambar hiasan

BEIJING – Seorang wanita berusia 70-an di wilayah Hebei, China mengejutkan keluarganya selepas kembali menunjukkan tanda-tanda masih hidup ketika berada di dalam keranda sebelum meninggal dunia dua hari kemudian.

Wanita berkenaan yang telah bertahun-tahun menghidap trombosis serebrum turut menghidap kanser dan dibawa pulang ke rumah selepas doktor memaklumkan penyakitnya tidak lagi boleh dirawat.

Iklan
Iklan

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), pada 8 September, keluarga wanita terbabit mendapati dia tidak lagi menunjukkan tanda-tanda kehidupan sebelum menganggapnya telah meninggal dunia.

Mayatnya kemudian diletakkan di dalam keranda yang mempunyai fungsi penyejukan sementara menunggu ahli keluarga dari luar kawasan pulang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Iklan

Bagaimanapun, pada malam berikutnya, menantu wanita itu terdengar bunyi rintihan halus dari dalam keranda berkenaan.

Keluarga terbabit segera membuka keranda dan mendapati wanita itu masih hidup sebelum mengeluarkannya.

Iklan

Pada 11 September, selepas saudara-mara yang berada di luar kawasan tiba, wanita itu dilaporkan kembali sedar dan membuka mata, namun keadaannya kekal kritikal sehingga tidak mampu makan atau minum sendiri.

Dia kemudiannya meninggal dunia pada malam hari yang sama, manakala pengebumiannya dilakukan pada 13 September.

Menurut petugas perubatan tempatan, wanita itu berkemungkinan mengalami keadaan yang dikenali sebagai ‘kematian tampak’ (apparent death), iaitu keadaan apabila kadar metabolisme tubuh menjadi sangat perlahan dan tanda-tanda penting seperti denyutan nadi serta pernafasan menjadi terlalu lemah sehingga sukar dikesan.