CHICAGO - Gelombang haba ekstrem yang dicetuskan fenomena El Nino pada tahun ini berisiko meragut hampir setengah juta nyawa di seluruh dunia menjelang akhir Februari 2027, ketika suhu global terus mencatat rekod dan beberapa kawasan berdepan kemarau serta kekurangan bekalan air.
Amaran serius dikeluarkan laporan kajian terbaharu oleh Climate Impact Lab yang berpusat di University of Chicago itu menyatakan sehingga 451,000 kematian tambahan berkaitan haba luar biasa antara Jun hingga akhir Februari mungkin berpunca daripada El Nino, berbanding jumlah kematian akibat haba yang dijangka berlaku pada tahun biasa.
Kajian itu menggabungkan ramalan suhu bermusim dengan anggaran setempat mengenai kesan suhu tinggi terhadap kadar kematian di lebih 24,000 wilayah di seluruh dunia.
Unjuran kematian tersebut merangkumi keseluruhan tempoh El Nino iaitu dari Jun 2026 hingga akhir Februari 2027. Anggaran kematian tambahan itu membandingkan jumlah kematian yang dijangka berlaku ketika suhu meningkat dengan jumlah kematian sekiranya suhu kekal pada paras purata dalam tempoh 30 tahun lalu.
Negara-negara berpendapatan rendah dijangka merekodkan jumlah kematian tertinggi ketika sebahagiannya sudah berdepan krisis ketidakjaminan makanan dan kos tenaga yang tinggi susulan perubahan iklim serta kesan perang di Iran.
Penulis bersama kajian itu, Michael Greenstone berkata, bahaya akibat haba berkemungkinan berterusan selepas Februari walaupun El Nino dijangka berakhir pada waktu tersebut. Kesan fenomena cuaca itu mungkin dirasai sehingga musim panas tahun depan.
“Bagi mereka yang sudah tinggal di kawasan panas, peningkatan suhu walaupun hanya beberapa darjah Celsius boleh membawa kesan yang jauh lebih berbahaya,” katanya.
Menurutnya, kawasan yang lebih kaya biasanya mempunyai akses yang lebih baik kepada penghawa dingin, bekalan air yang dan sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik.
Ancam negara Global Selatan
Kajian Greenstone bersama rakan penyelidik lain turut memberi amaran bahawa negara-negara Global Selatan, istilah yang secara umum merujuk kepada negara-negara membangun terutamanya di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Kepulauan Pasifik akan menanggung kesan paling besar akibat cuaca panas melampau.
Laporan itu mendapati wilayah Sahel di Afrika, negara-negara yang terletak di sepanjang pinggir selatan Gurun Sahara yang separa gersang dijangka menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan kira-kira 66,800 kematian tambahan akibat peningkatan suhu yang dipacu El Nino. Kawasan lain termasuk Asia Selatan dan Asia Tenggara serta sebahagian Amerika Latin.
Penyelidik mengunjurkan kira-kira 19,400 kematian tambahan berkaitan haba di Filipina, Vietnam, Thailand dan Kemboja, diikuti 19,300 di Indonesia, 15,800 di India serta 13,300 di Brazil.
Laporan itu mengesyorkan kerajaan menyediakan amaran haba, pusat penyejukan dan stesen bekalan air serta memperkukuh perlindungan pekerja luar dan meningkatkan bantuan kepada golongan rentan.
Penulis laporan itu turut menggesa pelaksanaan pembiayaan awal bagi membolehkan kerajaan menggerakkan sumber dan bantuan sebelum gelombang haba mencapai kemuncaknya.
Menurut Climate Impact Lab, suhu permukaan daratan global ketika El Nino ini berpotensi meningkat sekitar 1.2 darjah Celsius, sekali gus menyebabkan jumlah hari dengan suhu amat panas meningkat 44 peratus berbanding tahun biasa.
Keadaan itu mungkin mencerminkan corak cuaca panas yang dijangka semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim dalam tempoh kira-kira 20 tahun akan datang. - Agensi