Eisenkot pelawa Netanyahu sertai kerajaan gabungan

Iklan
Eisenkot (kanan) memperoleh sokongan jelas majoriti anggota Knesset untuk membentuk kerajaan baharu. - Foto Agensi

TEL AVIV - Pemimpin pembangkang Israel, Gadi Eisenkot yang menerima mandat rasmi daripada Presiden Isaac Herzog untuk membentuk kerajaan baharu tidak menolak kemungkinan memasukkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di bawah gabungan pemerintahannya.

Eisenkot turut membuka tawaran serupa kepada Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich untuk menyertai kerajaan di bawah pimpinannya.

Iklan
Iklan

“Jika anggota Likud dan Parti Zionisme Keagamaan benar-benar percaya bahawa ini adalah masa untuk bersatu seperti yang mereka nyatakan kepada Presiden. Saya tidak nampak sebarang alasan untuk mereka menolak kerajaan pimpinan saya,” katanya sambil menambah mana-mana parti yang bersetuju dengan prinsip utamanya akan dipelawa menyertai kerajaan.

Eisenkot yang muncul sebagai pencabar utama Netanyahu diberi tempoh 28 hari dengan kemungkinan lanjutan 14 hari untuk membentuk kerajaan baharu.

Iklan

Menurutnya, kerajaan yang bakal dibentuk akan mengutamakan kepentingan rakyat dan mewakili seluruh lapisan masyarakat Israel.

Eisenkot berkata, beliau akan berusaha membentuk kerajaan gabungan yang merangkumi pelbagai parti secepat mungkin meskipun proses itu 'amat kompleks'.

Iklan

Peluangnya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan juga masih tidak menentu selepas keputusan pilihan raya gagal memberikan mana-mana gabungan majoriti yang diperlukan untuk menyingkirkan Netanyahu.

“Kita mesti membentuk kerajaan darurat nasional dan ia memerlukan langkah politik yang kreatif serta luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Herzog memberi amaran Tel Aviv sedang berdepan ketidaktentuan politik selepas Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) pada 3 November lalu yang menyaksikan beberapa tokoh politik Demokrat yang lantang mengkritik Israel dan sokongan ketenteraan Washington terhadap mereka meraih kemenangan.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil,” ujarnya merujuk kepada 'realiti politik baharu' di Washington yang sedikit sebanyak turut memberi impak kepada Tel Aviv.

Herzog yang telah berunding dengan kesemua parti mengesahkan Eisenkot memperoleh sokongan jelas dan tidak berbelah bahagi daripada majoriti anggota Knesset (Parlimen) sebagai calon yang mempunyai peluang terbaik untuk membentuk kerajaan baharu.

Blok Netanyahu hanya memperoleh 53 kerusi, kurang daripada 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti manakala kem Eisenkot yang merangkumi empat parti memperoleh 48 kerusi. Dua parti yang mewakili minoriti Arab Israel pula mencatat pencapaian luar biasa apabila memenangi keseluruhan 19 kerusi. - Agensi