Nvidia siasat kontroversi CEO

Iklan
Jensen Huang - Foto: Agensi

NEW YORK – Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS), Nvidia, memulakan siasatan bebas bagi menentukan sama ada Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Jensen Huang, menjadi sasaran operasi risikan asing susulan laporan media yang mendakwa beliau mempunyai hubungan rapat dengan seorang ahli perniagaan wanita China yang dipercayai menyalurkan maklumat kepada Beijing.

Perkembangan itu berlaku selepas Huang mengakui berlaku curang terhadap isterinya dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataan pada Ahad, Nvidia memaklumkan lembaga pengarahnya akan menjalankan siasatan bebas susulan laporan media mengenai kemungkinan pengasas bersama syarikat itu menjadi sasaran usaha risikan asing.

Siasatan berkenaan akan dikendalikan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pengarah bebas dengan bantuan penasihat undang-undang luar yang juga bebas.

Iklan

Menurut Nvidia, lembaga pengarah setakat ini tidak mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa keselamatan negara AS atau rahsia syarikat berkenaan telah terjejas.

Bagaimanapun, siasatan itu akan meneliti semua maklumat yang tersedia bagi memastikan perkara sebenar dapat dikenal pasti.

Iklan

Huang turut menyokong sepenuhnya proses semakan berkenaan dan berjanji memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Laporan The New York Times bulan lalu mendakwa Huang mempunyai hubungan dengan Alice Huang, bekas eksekutif syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed.

Pihak berkuasa AS sebelum ini menyiasat Alice Huang dan membuat kesimpulan bahawa wanita itu merupakan aset perisikan China.

Megaspeed yang membeli cip kecerdasan buatan (AI) daripada Nvidia turut mendapat perhatian pihak berkuasa AS berikutan dakwaan syarikat itu membantu Beijing mendapatkan akses kepada cip AI canggih yang dilarang dieksport ke China.

Dalam perkembangan berkaitan, Huang mengakui berlaku curang terhadap isterinya menerusi mesej kepada kakitangan Nvidia.

Beliau mengakui tindakannya telah melukakan hati isteri dan anak-anaknya serta menyatakan tiada alasan yang boleh membenarkan perbuatannya itu.

"Tindakan saya telah menyakiti isteri dan anak-anak kami. Tiada alasan untuk apa yang saya lakukan. Saya amat kesal," katanya.

Huang turut menegaskan komitmennya kepada Nvidia dan berjanji mendapatkan semula keyakinan rakan sekerja, lembaga pengarah, rakan niaga serta pemegang saham.

"Tanggungjawab saya adalah untuk berkhidmat kepada anda dan menjadi seseorang yang layak menerima kepercayaan anda. Saya gagal memenuhi tanggungjawab itu. Saya komited sepenuhnya kepada Nvidia dan akan berusaha mendapatkan semula keyakinan anda," katanya.

Nvidia pula menegaskan Huang akan terus menerajui syarikat tanpa sebarang gangguan.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, enggan mengulas mengenai Huang ketika ditanya pemberita pada Ahad malam.

Siasatan berkenaan menambah tekanan terhadap Nvidia ketika pelabur semakin bimbang mengenai kelestarian pasaran AI.

Syarikat pembuat cip itu yang mempunyai nilai pasaran AS$4.5 trilion (RM18.9 trilion) menyaksikan sahamnya kehilangan keseluruhan keuntungan yang dicatatkan sejak awal tahun berikutan kemerosotan lebih luas dalam pasaran teknologi yang dicetuskan kebimbangan terhadap prospek industri AI.

Rakan kongsi dan Pengarah Urusan Kanan Yorkville Ives & Co, Dan Ives, berkata terdapat risiko Huang disingkirkan daripada jawatan CEO bergantung kepada hasil siasatan lembaga pengarah.

Beliau berkata kedudukan Huang amat penting kepada hala tuju dan strategi Nvidia di peringkat global, sekali gus menjadikan perkembangan itu satu risiko tambahan kepada saham syarikat berkenaan.

Ives menyifatkan kontroversi itu sebagai tamparan besar kepada Huang dan menjangkakan sekurang-kurangnya beberapa siasatan oleh Kongres AS akan menyusul.

Beliau turut berpandangan isu berkenaan akan meningkatkan penelitian terhadap penjualan cip Nvidia ke China.

Sementara itu, beberapa pemimpin kanan Republikan di Dewan Perwakilan AS sudah meminta Huang memberikan taklimat kepada Kongres pada bulan ini berhubung laporan The New York Times berkenaan.

Dalam surat bertarikh 4 November, anggota Kongres terbabit menyatakan laporan itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan negara, khususnya berkaitan akses China kepada teknologi dan maklumat sensitif AS.

Mereka menegaskan Kongres perlu menentukan sejauh mana keselamatan negara AS mungkin terjejas.

Sejak 2022, AS melaksanakan kawalan eksport bagi mengehadkan akses China kepada cip Nvidia berteknologi tinggi serta peralatan yang diperlukan untuk menghasilkannya.

Huang yang mengasaskan Nvidia bersama rakan pengasasnya pada 1993 berkata beliau komited melindungi syarikat itu serta menyokong keselamatan negara AS.

Nvidia sebelum ini menjelaskan bahawa Huang berinteraksi dengan ribuan eksekutif pelanggan setiap tahun.

Syarikat itu turut menegaskan pelanggan perkhidmatan awan di Asia hanya menerima maklumat perniagaan biasa dan bukannya rahsia perdagangan sensitif Nvidia atau sebarang maklumat berkaitan keselamatan negara AS.