Insiden van KKM terbalik: Polis temui petunjuk baharu

Iklan
Seramai 11 individu termasuk pemandu berada di dalam kenderaan berkenaan ketika kejadian.

IPOH - Polis memperoleh petunjuk baharu berhubung kemalangan membabitkan sebuah van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar/Jalan Sultan Yussof di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, petunjuk berkenaan diperoleh selepas pihaknya mendapatkan dan meneliti rakaman kamera papan pemuka daripada sebuah kenderaan yang berada di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, rakaman tersebut memberikan maklumat baharu berkaitan fasa lampu isyarat dan pergerakan kenderaan ketika kemalangan berlaku.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman berkenaan serta mendapatkan keterangan daripada pihak-pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi Rabu, sebuah van KKM yang membawa 11 individu termasuk jururawat pelatih terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Kemalangan itu menyebabkan van berkenaan terbalik manakala tiga penumpang mengalami kecederaan dan menerima rawatan.

Iklan

Muhamad Najib berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sabrina di talian 019-653 3008.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi lampu isyarat dan peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.