Polis kesan penunggang motosikal langgar 2 murid ketika melintas

Iklan
Tangkap layar video tular dua murid sekolah dilanggar sebuah motosikal di hadapan sebuah sekolah di Permatang Pauh pada pagi Rabu.

BUKIT MERTAJAM – Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar dua murid perempuan ketika mereka melintas di lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Permatang Pauh pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika kedua-dua murid berusia lapan dan sembilan tahun itu dalam perjalanan ke sekolah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihak polis mengesan satu rakaman video berdurasi kira-kira 30 saat yang memaparkan kejadian tersebut sebelum tular di media sosial pada Rabu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua murid berkenaan sedang melintas di lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah sebelum dilanggar sebuah motosikal.

Iklan

“Penunggang motosikal terbabit masih belum dikenal pasti dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identitinya serta mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan lanjut.

Iklan

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Hafizi Mansor di talian 017-566 0103,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aminuddin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memperlahankan kenderaan dan memberikan keutamaan kepada pejalan kaki.

“Perkara ini khususnya perlu diberi perhatian di kawasan sekolah dan lintasan pejalan kaki bagi memastikan keselamatan semua pihak serta mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.