Mayat tanpa identiti di KLIA Terminal 2 masih belum dituntut

Iklan
Shazeli (kanan) dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM - Polis masih belum menerima sebarang tuntutan daripada mana-mana individu atau waris untuk menuntut mayat lelaki tanpa identiti yang ditemukan di ruang simpanan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang pada 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini tiada maklumat lanjut yang dapat mengesahkan identiti mangsa.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiada individu yang tampil memberi maklumat. Sekiranya ada ahli keluarga yang masih belum pulang atau hilang, boleh berhubung dengan balai polis berhampiran untuk kami lengkapkan siasatan.

"Identiti mayat itu juga masih belum dapat ditentukan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.

Iklan

Mengenai punca keberadaan mangsa di dalam pesawat tersebut, Shazeli memaklumkan, perkara itu masih menjadi persoalan dan dalam siasatan pihaknya.

Jelasnya, kes sedemikian bukan kali pertama berlaku, sebaliknya pernah berlaku sebelum ini.

Iklan

"Ini bukan kes pertama, pernah berlaku sedemikian rupa apabila individu dijumpai di tempat simpanan tayar.

"Saya tak nak beri kesimpulan kerana dibimbangi tersasar. Kita tunggu hasil siasatan," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi dilaporkan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya mereka yang dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA, diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-87768926; Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Ridzuan Mohd Rosli (011-14453057) atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nicholas anak Idel (018-7017291).