Prabowo mahu hasilkan petrol sendiri daripada arang batu

Iklan
Prabowo ketika berucap pada Majlis Kesyukuran 100 Tahun Pondok Moden Darussalam Gontor, Jawa Timur pada Sabtu. - Foto: Agensi

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan hasrat untuk membangunkan pengeluaran petrol berasaskan arang batu sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import bahan api.

Menurut Prabowo, langkah berkenaan akan meneruskan usaha kerajaan membangunkan bahan api berasaskan sumber tempatan, termasuk minyak sawit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ahli akademik dan profesor daripada pelbagai fakulti kejuruteraan di Indonesia telah berjaya menghasilkan bahan api diesel daripada minyak sawit serta membangunkan petrol berasaskan sumber berkenaan.

"Kita juga nanti akan menghasilkan petrol daripada arang batu," katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran 100 Tahun Pondok Moden Darussalam Gontor, Jawa Timur pada Sabtu.

Iklan

Prabowo turut menekankan kepentingan meneruskan pembangunan sumber bahan api alternatif bagi memastikan bekalan tenaga negara lebih terjamin.

Beliau berkata, pelaksanaan penggunaan diesel campuran minyak sawit sehingga 50 peratus atau B50 menunjukkan keupayaan Indonesia mengurangkan pergantungan terhadap bekalan bahan api dari luar negara.

Iklan

Menurutnya, Indonesia telah menghentikan import diesel sejak 1 Julai lalu susulan peningkatan pengeluaran bahan api domestik menerusi penggunaan minyak sawit.

Prabowo berkata, langkah itu penting dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga global susulan konflik yang berlaku di beberapa bahagian dunia.

"Ketika ini diesel mengalami kekurangan bekalan di dunia. Walaupun kita mempunyai wang, mungkin barangnya tiada. Syukur, kita sudah mampu menghasilkan diesel sendiri. Daripada mana? Daripada kelapa sawit," katanya.

Beliau sebelum ini turut menggalakkan pengembangan sumber tenaga alternatif menggunakan bahan mentah yang tersedia di dalam negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga Indonesia. - Agensi