Meloni mahu larang burqa, niqab di sekolah Itali

Iklan
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.- Foto: AFP

ROM – Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengumumkan rancangan untuk melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah negara itu, ketika isu imigresen dijangka menjadi antara fokus utama menjelang pilihan raya umum 2027.

Meloni mengumumkan cadangan tersebut ketika berucap pada perhimpunan sayap pemuda parti Brothers of Italy (FdI) di Rom pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan juga mahu menetapkan had jumlah pelajar asing dalam setiap kelas selain mewajibkan ibu bapa kepada pelajar asing yang menghadapi masalah serius untuk menyesuaikan diri dengan sistem sekolah mempelajari bahasa Itali.

“Bagi kami, sesiapa yang datang ke Itali dan mahu membina masa depan di sini perlu mempelajari bahasa kami, memahami budaya kami dan menghormati peraturan kami,” katanya.

Iklan

Meloni berkata, pendekatan itu merupakan cara yang dianggap serius untuk menerima pendatang ke dalam masyarakat Itali.

Cadangan tersebut dijangka dibawa ke Majlis Menteri sebelum melalui proses Parlimen. Jika diluluskan kerajaan, langkah berkenaan masih memerlukan kelulusan Parlimen dalam tempoh ditetapkan sebelum dapat dikuatkuasakan.

Iklan

Ketika ini, burqa dan niqab tidak dilarang secara khusus di Itali.

Undang-undang sejak 1975 bagaimanapun melarang penggunaan pakaian atau penutup yang menyukarkan proses mengenal pasti seseorang tanpa alasan yang munasabah.

Keputusan mahkamah pada 2008 kemudian menjelaskan penutup muka penuh atas sebab agama atau budaya boleh digunakan dengan syarat wajah didedahkan ketika pemeriksaan identiti.

Meloni turut berkata, kerajaan mahu menetapkan had sah bagi jumlah pelajar asing dalam setiap kelas.

Namun, had 30 peratus pelajar asing bagi setiap kelas dan sekolah sebenarnya sudah wujud melalui dasar pendidikan sedia ada, walaupun pelaksanaannya dilaporkan berdepan kesukaran.

Presiden Persatuan Pengetua Kebangsaan Itali, Antonello Giannelli berkata, cadangan mengehadkan pelajar asing mungkin mempunyai asas dari sudut pendidikan, tetapi sukar dilaksanakan terutama di kawasan yang mempunyai populasi pendatang tinggi.

Pelajar asing kini membentuk kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan enrolmen sekolah di Itali. - Agensi