Bila meja makan bulat kena angkut

Iklan
Rakaman CCTV didakwa menunjukkan Atichot melakukan hubungan seksual dengan Punyavee di beberapa bahagian kediamannya, termasuk di dapur dan di atas sebuah meja bulat yang digunakan untuk makan.

INGATKAN polis datang ke kuil untuk mencari duit yang hilang. Sekali, bukan setakat duit yang mereka jumpa. Rakaman CCTV pula membuka cerita lain, sampai sebuah meja makan bulat yang muncul dalam rakaman turut diangkut keluar sebagai barang kes.

Memang lain macam kes ini. Semuanya bermula apabila pihak berkuasa Thailand menyerbu Wat Phutthaisawan di Ayutthaya pada 10 September lalu bagi menyiasat dakwaan penyelewengan wang milik kuil berjumlah kira-kira 92 juta baht atau lebih RM11 juta.

Iklan
Iklan

Sasaran mereka ialah ketua sami berusia 66 tahun, Phra Wachirayan atau lebih dikenali sebagai Luang Pho Atichot. Menurut penyiasat, selama lebih dua tahun, lebih 20 resit sumbangan didakwa dikeluarkan menggunakan nama kuil tanpa kebenaran.

Sebahagian wang pula datang daripada sumbangan orang ramai serta penjualan atau penyewaan azimat Buddha. Tangkal tersebut sangat popular dan diburu oleh orang kenamaan VIP dan orang awam. Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dilaporkan antara individu yang pernah menggunakan hasil ciptaannya. Wang berkenaan didakwa tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi kuil.

Iklan

Setakat cerita duit kuil yang hilang, kes ini pun sudah cukup menarik perhatian. Tetapi polis kemudian memeriksa rakaman CCTV di kediaman Atichot. Dari situlah muncul cerita yang langsung tiada kaitan dengan urusan akaun bank.

Rakaman tersebut didakwa menunjukkan Atichot melakukan hubungan seksual dengan Punyavee di beberapa bahagian kediamannya, termasuk di dapur dan di atas sebuah meja bulat yang digunakan untuk makan.

Iklan

Daripada cerita tentang duit kuil yang hilang, kes ini tiba-tiba ada 'babak tambahan'. Cerita itu kemudian meletup di media sosial. Bila sesuatu sudah masuk media sosial, kita tahu apa yang biasanya berlaku. Orang bukan lagi sekadar mahu tahu apa yang berlaku. Mereka mahu tahu siapa, bila, di mana, bagaimana dan kalau boleh mahu tengok semuanya.

Jadi, polis bukan sekadar membawa keluar dokumen, wang tunai, emas, barang kemas dan dokumen berkaitan aset. Meja makan bulat pun kena angkut sekali. Kalaulah meja itu boleh bercakap, mungkin banyak lagi cerita yang boleh diceritakannya.

Kisah Punyavee atau Sister Ai pula tidak kurang menarik. Sekitar 30 tahun lalu, ketika menuntut di sebuah universiti terkemuka Thailand, dia dikatakan terkenal sebagai selebriti kampus, termasuk sebagai ahli pasukan sorak.

Selepas meninggalkan universiti, memulakan perniagaan menjual barangan ritual berkaitan keberkatan, nazar dan menolak nasib malang. Dia pernah diisytiharkan muflis pada 2019 sebelum status berkenaan ditamatkan pada 2022.

Melalui perniagaan itu, ibu tunggal tiga anak itu mula berhubung dengan Atichot yang mempunyai pengaruh dalam kalangan pengikutnya. Daripada seorang jelitawan kampus kepada ibu tunggal dan kemudian terlibat dalam perniagaan barangan ritual, perjalanan hidup Punyavee memang berliku.

Namun, jalan yang dilaluinya selepas itu membawa kepada persoalan yang lebih besar. Namanya turut dikaitkan dengan Phra Vajirayan, 66, seorang bekas sami kanan di Wat Phutthaisawan.

Akhirnya, kes ini bukan lagi semata-mata tentang duit. Ia tentang amanah. Jawatan, pakaian dan kedudukan mungkin membuat seseorang kelihatan mulia di mata orang lain. Tetapi semua itu bukan jaminan seseorang tidak akan tergelincir.

Amanah tetap amanah. Bila kepercayaan dikhianati, lambat atau cepat, sesuatu akan meninggalkan jejak. Kadang-kadang jejak itu ada dalam akaun bank. Kadang-kadang dalam rakaman CCTV. Kadang-kadang, sebuah meja makan bulat pun boleh menjadi barang kes.

Ada rakan secara sinis berkata, sami pun ada juga nafsu dan keinginan. Kalau sami pun boleh pecah amanah, apatah lagi orang politik. Entahlah. Yang pasti, di Malaysia pun kita pernah melihat sebuah tilam diangkut ke mahkamah sebagai bahan bukti dalam satu kes liwat yang membabitkan seorang pemimpin.

Persoalannya, apa jadi dengan tilam tersebut?

 

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto KKB yang gemar bermain pickelball