PILIHAN Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada 3 November 2026 menyaksikan kemenangan besar Parti Demokrat apabila berjaya merampas penguasaan kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat daripada Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump.
Demokrat memperoleh sekurang-kurangnya 233 kerusi Dewan Perwakilan berbanding 138 kerusi Republikan yang telah diputuskan, selain menguasai Senat dengan sekurang-kurangnya 54 kerusi berbanding 44 kerusi Republikan.
Keputusan ini bukan sahaja akan dikenang kerana jumlah kekalahan besar Parti Republikan, malah turut mencatatkan beberapa pencapaian bersejarah di seluruh negara.
Abdul El-Sayed mencipta sejarah sebagai individu Muslim pertama dipilih menganggotai Senat AS selepas mencatatkan kemenangan sengit ke atas calon Republikan, Mike Rogers, di Michigan.
Deb Haaland daripada Demokrat menjadi wanita pertama daripada masyarakat Orang Asal Amerika yang dipilih sebagai gabenor dalam sejarah AS.
Beliau menewaskan calon Republikan, Gregg Hull, bekas datuk bandar, untuk menerajui negeri New Mexico.
Peggy Flanagan, Timbalan Gabenor Minnesota, mencipta sejarah sebagai wanita pertama daripada masyarakat Orang Asal Amerika yang dipilih sebagai anggota Senat AS.
Flanagan, yang merupakan anggota komuniti White Earth Band of Ojibwe, menewaskan calon Republikan, Michele Tafoya, bekas wartawan tepi padang NFL.
Keisha Lance Bottoms daripada Demokrat diumumkan sebagai pemenang dalam pemilihan gabenor Georgia sekali gus menjadi wanita kulit hitam pertama dipilih sebagai gabenor sebuah negeri di AS.
Pengundi Texas menolak penyandang jawatan gabenor, Greg Abbott, dan memilih Gina Hinojosa, yang bakal menjadi wanita berketurunan Amerika Latin pertama menerajui negeri itu.
Sementara itu, Xavier Becerra, bekas Peguam Negara California, menewaskan calon Republikan, Steve Hilton, untuk menjadi gabenor berketurunan Amerika Latin pertama negeri itu sejak Romualdo Pacheco pada 1875.
Antara punca utama kemenangan Demokrat ialah ketidakpuasan hati terhadap Trump yang sering mencetuskan kontroversi. Trump gagal urus kos sara hidup dan ekonomi menyaksikan berlaku kenaikan harga petrol dan barangan keperluan.
Malah inflasi yang tinggi membebankan kehidupan rakyat dan timbul kebimbangan terhadap peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi.
Ini menyebabkan pengundi menyalahkan pentadbiran Trump atas tekanan ekonomi.
Selain itu, penglibatan ketenteraan AS dalam perang dengan Iran meningkatkan ketidaktentuan geopolitik dan rakyat mempersoalkan kos perang.
Dasar tarif import Trump menyebabkan kos perniagaan meningkatkan tinggi dan pengusaha kecil dan sederhana berdepan tekanan.
Pengundi juga marah apabila berlaku pemotongan peruntukan kesihatan dan menyebabkan kos rawatan perubatan membebankan.
Natijahnya sokongan pengundi muda dan minoriti terhadap Demokrat meningkat termasuk di bandar dan luar bandar.
Implikasi kemenangan Demokrat kepada Trump akan menyebabkan Presiden AS itu berdepan tentangan lebih besar di Kongres.
Demokrat mempunyai kuasa lebih besar untuk menghalang atau memperlahankan dasar kerajaan.
Malah mereka berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap pentadbiran Trump.
Trump selepas ini tidak boleh lagi membuat keputusan sewenangnya.
Jadi kesimpulannya ialah ekonomi mengatasi retorik politik apabila pengundi lebih mengutamakan kos sara hidup dan kesejahteraan keluarga.
Prestasi kerajaan menentukan sokongan dan populariti presiden tidak semestinya menjamin kemenangan partinya.
Selain itu pengundi boleh berubah sokongan dan memberi undi kepada sesiapa sahaja yang mereka mahu.
Isu ekonomi, kesihatan dan pekerjaan sangat kuat dan boleh menjadi faktor lebih besar berbanding isu ideologi.
Dan akhirnya parti pemerintah boleh dihukum apabila gagal memenuhi harapan pengundi.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian