JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mula mengatur langkah awal bagi memastikan bekalan air terawat tidak terjejas susulan fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku dari Oktober hingga Disember depan.
Ranhill SAJ memaklumkan, beberapa pelan mitigasi sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan air terawat kekal stabil di kawasan yang menerima bekalan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.
“Antara langkah yang dirancang termasuk mengaktifkan ponton dari Kolam Yong ke Ulu Sungai Benut yang mampu menyuntik 10 juta liter sehari (JLH) air mentah,” katanya dalam muat naik di laman Facebook rasmi pada Ahad.
Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum itu mengadakan tinjauan paras air di Empangan Machap sebagai persiapan menghadapi fenomena berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid ;Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Azlan Afandi Sauffee Afandi; Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang, Muhammad Nizam Ibrahim serta Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Affendy Tusam.
Jelas Ranhill SAJ lagi, empangan Machap membekalkan air mentah bagi dirawat di LRA Simpang Renggam yang mempunyai kapasiti 64 JLH.
Katanya, loji berkenaan menjadi nadi bekalan air terawat bagi kawasan Simpang Renggam, Machap, Pontian Utara dan sebahagian selatan Batu Pahat.
Ranhill SAJ memberitahu, tiga unit transfer pump dari Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut turut akan diaktifkan sebagai langkah tambahan bagi memastikan sumber air mentah mencukupi.
“Langkah-langkah tambahan juga dilakukan, termasuk menaikkan paras pintu muka sauk Simpang Renggam serta mengaktifkan ponton dari Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut yang berkapasiti 15 JLH,” katanya.
Selain itu, usaha pembenihan awan turut sedang dirancang kerajaan negeri bagi membantu pertambahan air mentah di kawasan tadahan air.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan air secara berhemah bagi membantu memastikan bekalan air mencukupi ketika menghadapi kemungkinan cuaca panas dan kering.