MUAR - Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang antara empat individu ditahan selepas dipercayai berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, pagi Jumaat.
Keempat-empat mereka termasuk seorang daripadanya masih di bawah umur, ditahan selepas pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 9 pagi.
Menurut JAIN, pemeriksaan mendapati keempat-empat individu terbabit berada dalam sebuah bilik hotel dan mereka bukan pasangan suami isteri serta tiada hubungan mahram.
"Bagaimanapun, perkara itu tidak mengubah statusnya sebagai seorang isteri ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam kenyataan.
Jelas JAINJ, wanita berkenaan mendakwa berada di hotel bersama seorang lagi wanita, manakala dua lelaki terbabit dikatakan datang kemudian untuk menghantar sarapan serta berbual.
"Mereka memberi alasan hanya berkawan dan tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral.
"Namun, mereka tetap ditahan untuk tindakan lanjut kerana berada bersama dalam bilik hotel tanpa hubungan mahram," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat beg dan pakaian wanita di dalam almari, manakala keadaan katil di bilik berkenaan tidak teratur.
"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah," katanya.