Selamba bawa lori lima tahun tanpa 'road tax'

Iklan
Anggota penguat kuasa JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas lori yang didapati beroperasi dengan cukai jalan tamat tempoh lebih lima tahun.

KUANTAN - Sebuah lori disita selepas didapati beroperasi dengan cukai jalan tamat tempoh sejak lebih lima tahun lalu.

Semakan mendapati, selain cukai jalan tamat tempoh sejak Februari 2021, lori yang ditahan dalam Ops Gempur Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) di Kilometer 10, Jalan Lamir-Ganchong,Pekan itu juga tiada perlindungan insurans.

Iklan
Iklan

Unit Korporat JPJ Pahang berkata, insurans lori terbabit 'mati' sejak Mei 2022 dan kali terakhir menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada Februari 2022.

Menurutnya, susulan kesalahan tersebut, tindakan penyitaan diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Depoh Sita Stesen Penguatkuasa (SPK) Paloh Hinai untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Selain saman dikeluarkan ke atas pemandu, pemilik kenderaan turut berdepan tindakan selepas dikenal pasti melakukan kesalahan membenarkan kenderaan digunakan di jalan raya tanpa cukai jalan, perlindungan insurans dan pemeriksaan Puspakom yang sah," ujarnya melalui kenyataan di sini.

Tegas JPJ Negeri Pahang, pematuhan terhadap peraturan berkaitan cukai, perlindungan insurans dan pemeriksaan berkala Puspakom tanggungjawab setiap pemilik dan pengusaha kenderaan perdagangan.

Iklan

Katanya, kegagalan memastikan dokumen serta kelayakan kenderaan sentiasa sah bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang, malah boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada semua pengguna jalan raya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, JPJ Pahang turut menyita sebuah lori membawa muatan bauksit melebihi had berat yang dibenarkan.

Hasil pemerilsaan Ops Khas Lebih Muatan di sekitar Bulatan Jabor, Jalan Gebeng Bypass di sini itu mendapati, lori tersebut membawa muatan dengan berat keseluruhan 42,800 kilogram (kg) berbanding Berat Dengan Muatan (BDM) dibenarkan 26,000 kg.

"Lebihan muatan dibawa sebanyak 16,800 kilogram atau 64.62 peratus melebihi had berat yang dibenarkan.

"Susulan kesalahan tersebut, tindakan telah diambil ke atas pemandu di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya.

Jelasnya, lori yang disita di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010 itu dibawa ke Depoh Sita JPJ Kuantan untuk tindakan lanjut.

"Kami akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa," ujarnya.